MELAKA: Seorang penyelia tapak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menipu urusan penjualan sebidang tanah bernilai RM2 juta, dua tahun lalu.
Tertuduh, Law Tuan Hai, 62, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan Chong Kah Khen, 54, bahawa dia adalah pemilik berdaftar sebidang tanah bagi urusan pembelian tanah berkenaan sehingga mendorong tiga individu berusia 38, 46 dan 78 tahun membuat bayaran berjumlah RM2 juta ke akaun bank milik tertuduh.
Kesalahan itu dilakukan di Tetuan Ching Kah Khen & Harris di Taman Malim Jaya dalam daerah Melaka Tengah pada Oktober 2023.
Sabit kesalahan warga emas itu berdepan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan tertuduh diikat jamin sekitar RM100,000 kerana mangsa menanggung kerugian yang tinggi.
Peguam Low Huey Theng merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai penyelia tapak dengan pendapatan RM5,000 sebulan, selain mengidap sakit buah pinggang kronik.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mendekati mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai, melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan dikehendaki hadir setiap kali sebutan dan perbicaraan kes.
Mahkamah turut menetapkan 22 Mei ini untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes. – UTUSAN