KUALA LUMPUR: Seorang wanita dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencuri pelbagai barangan runcit dari sebuah pasar raya, Sabtu lalu.
Tertuduh, Lini Ahmat, 38, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.
Ibu kepada seorang anak itu didakwa mencuri 30 jenis barangan termasuk makanan ringan, produk penjagaan diri dan keperluan harian antaranya roti, telur, biskut, susu soya, tisu dan ubat gigi berjumlah RM374.69 di sebuah pasar raya di Brickfields di sini pada 19 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Prosiding pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh memohon agar mahkamah memberikan hukuman yang setimpal untuk memberikan pengajaran kepada tertuduh.
Peguam bela, Qurratu ‘Aini Zafirah Mat Shoib yang mewakili tertuduh memohon agar hukuman ringan dikenakan atas alasan anak guamnya terpaksa melakukan kesalahan itu akibat tekanan kewangan selain masih menanggung anak berusia enam bulan serta bapa yang uzur berumur 76 tahun.
“Anak guam saya tidak bekerja, manakala suaminya baru sahaja memperoleh pekerjaan selepas mereka sekeluarga berpindah dari Sarawak.
“Tertuduh berada dalam keadaan terdesak dan tidak mempunyai wang untuk membeli barangan keperluan asas,” rayu peguam itu. – UTUSAN