JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh kedudukan sebagai peneraju dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) menerusi jalinan kerjasama strategik di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim berkata, antara usaha tersebut ialah melalui 12 kerjasama antarabangsa melibatkan institusi seperti SATU President Forum Taiwan, Anhui Normal University dan Samarkand State University.
“UTM kini memainkan peranan penting dalam agenda AI negara dengan dilantik sebagai peneraju utama Malaysia Artificial Intelligence Council (MAIC) serta penglibatan dalam penubuhan National AI Office (NAIO),” katanya pada Majlis Amanat Khas Naib Canselor di sini hari ini.
Beliau berkata, di peringkat negeri, hubungan strategik bersama kerajaan Johor turut diperkukuhkan melalui pendidikan dan pembangunan tenaga kerja mahir.
Mohd. Shafry, yang genap 100 hari memegang jawatan Naib Canselor kelapan UTM pada 19 April lalu, menegaskan komitmen untuk memberi keutamaan kepada kebajikan warga universiti.
Tiga fokus utama turut digariskan beliau iaitu pengukuhan jiwa warga UTM, transformasi organisasi dan pelaksanaan pelan strategik UTM Ascend 2030 yang bakal memacu hala tuju institusi itu hingga tahun 2030. – UTUSAN