PASIR PUTEH: Penantian selama 10 tahun tanpa dokumen pengenalan diri berakhir apabila seorang kanak-kanak dari Kampung Pohon Barat, Kedai Menanti di sini, memperoleh sijil kelahiran rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Kelantan, semalam.
Kanak-kanak itu, Rose Azwa Safrina Mohd Rithaudin menerima sijil kelahirannya yang disampaikan sendiri oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (KPPN), Badrul Hisham Alias dalam satu majlis ringkas.
Menurut Pengarah JPN Negeri Kelantan, Halimatusaadiah Ramli, pengeluaran sijil kelahiran itu dilakukan melalui proses pendaftaran lewat kelahiran setelah keluarganya gagal mendaftar kelahirannya dalam tempoh 60 hari seperti yang ditetapkan.
“Rose Azwa turut tersenarai dalam kalangan murid yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di bawah Program MEKAR Didik yang dilancarkan pada 17 November 2024.
“Program MEKAR Didik merupakan inisiatif kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan JPN yang bertujuan mengatasi isu keciciran dalam kalangan pelajar yang layak bersekolah tetapi tidak memiliki dokumen pengenalan diri seperti sijil lahir, kad pengenalan (MyKad) dan sijil kewarganegaraan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Halimatusaadiah berkata, usaha proaktif ini bagi memastikan setiap individu yang layak di negara ini diberikan dokumen pengenalan diri yang sah sekali gus membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan dan bantuan yang ditawarkan kerajaan.
“Ibu bapa atau waris terdekat tidak seharusnya leka terhadap tanggungjawab segerakan pendaftaran kelahiran anak,” katanya.
Tegasnya, setiap kelahiran di Malaysia wajib didaftarkan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kelahiran bagi mengelakkan kesulitan di kemudian hari.
Katanya, JPN akan terus komited melaksanakan program turun padang untuk memberi perkhidmatan secara langsung kepada masyarakat.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Program MEKAR boleh menghubungi talian 03-88808014 atau emel ke [email protected]UTUSAN