SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan jemaah haji tidak terpedaya dengan pakej palsu agensi tiada bertauliah bagi menunaikan rukun kelima Islam itu.
Baginda bertitah, umat Islam tidak boleh menganiaya sesama Islam dengan mengambil kesempatan mengadakan pakej haji palsu untuk mengaut keuntungan secara menipu.
“Ingatlah bahawa agama Islam melarang umatnya menipu dan Allah akan membalas segala dosa mereka yang memperdayakan orang lain.
“Beta berharap pada masa akan datang tiada lagi kes jemaah haji ditipu ejen yang tidak bertauliah. Diharap kerajaan memandang serius mengenai perkara ini,” titah baginda ketika menyempurnakan penutupan Kursus Perdana Haji Musim 1446 Hijrah Peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Kursus anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) itu disertai seramai 8,338 bakal haji negeri ini dalam mempersiapkan diri bagi fasa akhir sebelum berangkat ke Tanah Suci bulan depan.
Titah Sultan Sharafuddin, kuota menunaikan ibadah haji amat terhad bagi setiap negara dan telah ditentukan kerajaan Arab Saudi.
“Oleh demikian, berharap jemaah yang menunaikan ibadah itu memanfaatkan peluang sebaik-baiknya bagi memperoleh haji mabrur.
“Kita bersyukur kerana TH menjaga dan menguruskan kebajikan jemaah haji. Jangan guna agensi lain yang tidak diketahui latar belakangnya sehingga tertipu dan ibadah menjadi tergendala,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda mengingatkan jemaah menjaga kesihatan diri kerana ibadah haji memerlukan banyak pergerakan fizikal yang sihat.
“Jika tidak sihat, mereka perlu segera pergi ke klinik-klinik TH di tanah suci bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Beta turut menasihatkan jemaah mematuhi undang-undang yang ditetapkan supaya kita sentiasa berada di dalam keadaan aman sejahtera dan terhindar daripada masalah,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah, para jemaah Malaysia termasuk Selangor antara jemaah yang berdisiplin dan patuh kepada peraturan-peraturan yang ditentukan kerajaan Arab Saudi.
“Beta berharap kita terus mengekalkan disiplin diri ketika berada di Tanah Suci nanti dan menjaga nama baik negeri dan negara.
“Tumpukan perhatian kepada ibadah itu dan elakkan terlibat dalam sebarang bantahan atau demonstrasi. Sentiasa berhubung dengan petugas haji dan mengikuti segala arahan TH,” titah baginda.-UTUSAN