KUALA LUMPUR: Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) perlu dilengkapi panel kecerdasan interaktif bagi menggalakkan penggunaan ‘Smart Classroom’ di semua kelas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau mahu UPTM dilengkapi Smart Classroom secara 100 peratus bagi menampung semua keperluan pembelajaran terkini.
“Saya ingin melihat UPTM mempunyai kemudahan pembelajaran yang bertaraf dunia iaitu sekurang-kurangnya 100 peratus kelas di UPTM adalah Smart Classroom yang mempunyai panel kecerdasan interaktif, internet berkelajuan tinggi dan fasiliti state-of-theart yang dapat menampung semua keperluan pembelajaran terkini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amazing Syawal Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), hari ini.
Tambah Ahmad Zahid, adalah penting supaya kampus tersebut diperluaskan dalam lingkungan kawasan Lembah Klang dan menjadi pilihan utama pelajar dari dalam dan luar negara.
“Kita melihat permintaan terhadap program-program yang ditawarkan di UPTM semakin meningkat justeru adalah penting untuk UPTM mempunyai kampus yang lebih besar.
“Selain itu, berikan tumpuan juga untuk memastikan lebih ramai pelajar dari Sabah dan Sarawak berpeluang melanjutkan pelajaran di UPTM bagi memperkukuhkan lagi agenda kemajuan negara khususnya pembangunan insan dalam kalangan bumiputera.
“Saya mahu UPTM menjadi universiti pilihan nasional dan global dalam bidang profesional, sains sosial, pendidikan dan teknologi terutamanya AI,” katanya.
Ahmad Zahid turut mengharapkan UPTM memberi tumpuan terhadap usaha melahirkan golongan profesional dan pemimpin masa hadapan bagi meneruskan legasi serta menjamin kesejahteraan dan kemakmuran negara.
“Graduan dan alumni UPTM mestilah mendukung prinsip manusiawi yang memberi manfaat kepada insan lain serta berpegang teguh kepada nilai agama dan rukun negara.
“Saya difahamkan ada program Huffaz UPTM dan pelbagai inisiatif khidmat masyarakat. Perkukuhkan dan tingkatkan kualiti program-program sebegini,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, sebagai satu-satunya Institut Pendidikan Mara (IPMa) IPMA yang telah berjaya mendapat status Platinum ACCA, adalah penting untuk UPTM menjadi peneraju agenda nasional dalam meningkatkan peratusan akauntan bertauliah.
“Maka, perlu ada program khas seperti Young Talent Programme 13 (YTP) Mara bagi menggalakkan semua pelajar cemerlang terutamanya dari MRSM dan Kolej Profesional MARA untuk meneruskan pelajaran di UPTM.
“Kerjasama boleh dilakukan dengan Yayasan Peneraju dan MyPAC bagi mempelbagaikan peluang kepada anak-anak bumiputera untuk menceburi bidang perakaunan,” katanya. – UTUSAN