PETALING JAYA: Pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam bidang perubatan di Universiti Al-Azhar, Mesir bakal menikmati pengurangan yuran pengajian hampir 50 peratus apabila universiti itu bersetuju menurunkan yuran lima tahun pengajian daripada RM150,000 kepada hanya RM85,000.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kejayaan rundingan yang dimulakan sejak empat bulan lalu itu merupakan berita gembira buat masa depan pendidikan anak-anak Melayu dan bumiputera.
“Alhamdulillah, ini satu perkembangan amat positif. Ia membuktikan usaha berterusan Mara dalam memastikan akses pendidikan berkualiti dan mampu milik untuk rakyat,” katanya menerusi hantaran di platform Facebook.
Menurut Asyraf Wajdi, langkah susulan adalah penyediaan kertas cadangan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Katanya, langkah itu penting bagi membolehkan Mara kembali menaja pelajar dalam bidang perubatan dan pergigian di Universiti Al-Azhar.
Tambahnya, rakaman perbincangan turut dikongsikan melalui platform TikTok sebagai bukti keterbukaan dan kesungguhan dalam memperjuangkan peluang pendidikan.
Pengurangan yuran dijangka membuka lebih banyak ruang kepada pelajar cemerlang daripada keluarga berpendapatan rendah mengejar cita-cita sebagai doktor. – UTUSAN