PETALING JAYA: Band terkenal dari Indonesia, Ungu bakal mengadakan konsert 29th Anniversary – Symphony of Ungu di Dewan Plenari , Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 12 Julai ini.
Tampil dengan konsep orkestra, konsert yang dianjurkan sempena ulang tahun ke-29 kumpulan itu juga diadakan untuk menghargai peminat-peminat di Malaysia yang sentiasa menyokong karya mereka.
Menurut Apex Venture Global Sdn Bhd, penganjuran konsert Symphony Of Ungu merupakan penghargaan kepada kumpulan tersebut yang sentiasa menghasilkan karya yang mempunyai impak tersendiri terhadap industri muzik tanah air.
“Kami sebagai penganjur percaya konsert ini mampu mencapai target kerana Ungu merupakan sebuah kumpulan yang mempunyai sokongan daripada peminat mereka yang tersendiri apatah lagi mereka sudah hampir usia tiga dekad dalam industri muzik Malaysia dan Indonesia” kata pihak penganjur dalam sebuah kenyataan.
Dengan kredibiliti yang dimiliki Ungu, mereka juga mensasarkan sebanyak 2,865 orang penonton selain menjanjikan persembahan yang sangat bertenaga dan istimewa melalui sentuhan okestra daripada J.P Denny.
“Kapasiti dewan itu hanya boleh memuatkan kurang daripada 3000 orang penonton. Oleh itu, kami sarankan peminat segera mendapatkan tiket mereka bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang menonton dan merasai konsert yang akan memberikan kenangan yang amat bermakna buat mereka yang hadir” katanya lagi.
Umum tahu, kumpulan Ungu sering menghasilkan karya yang memberikan inspirasi kepada orang ramai selain terkenal dengan lagu-lagu hits galau yang mempunyai mesej tersendiri.
Orang ramai sudah boleh mendapatkan tiket melalui laman sesawang www.ticket2u.com.my dengan harga bermula RM288 hingga RM1588. -UTUSAN