PETALING JAYA: Seramai 118,000 mahasiswa baharu mendaftar masuk ke kolej kediaman bagi pengambilan Mac 2025 di kesemua kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di seluruh negara bermula semalam.
Daripada jumlah tersebut, 38,389 mahasiswa baharu melapor diri pada hari pertama pendaftaran, yang melibatkan pelajar dari semua kampus induk dan cawangan UiTM di seluruh negara.
Manakala di kampus induk UiTM Shah Alam, seramai 4,500 mahasiswa baharu mendaftar untuk memulakan pengajian mereka bagi sesi kali ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada semua pelajar baharu dan menasihatkan mereka untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada bagi mencapai kejayaan dalam pengajian.
“Gunakan sepenuhnya peluang ini untuk menimba ilmu dan memperkasakan diri, bukan hanya dalam akademik, tetapi juga dalam sahsiah dan kepimpinan. UiTM sentiasa menyokong anda untuk cemerlang,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau turut mengingatkan mahasiswa baharu agar tidak melupakan harapan dan pengorbanan ibu bapa serta keluarga yang telah banyak menyokong mereka.
Selain itu, beliau juga mengalu-alukan kepulangan para mahasiswa lama yang kembali untuk meneruskan pengajian mereka di kampus.
“Semester baharu hadir bersama semangat baharu. UiTM sentiasa mendokong aspirasi pelajar untuk cemerlang bukan sahaja dalam akademik, malah turut menyerlah dalam sahsiah dan kepimpinan,” katanya.
Tambahnya lagi, mahasiswa baharu akan mengikuti pelbagai program orientasi dan suai kenal bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan di alam universiti. – UTUSAN