PETALING JAYA: Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi disifatkan sebagai tokoh negarawan berjiwa luhur meninggalkan legasi besar dalam pembangunan pendidikan, kepimpinan pelajar dan pemerkasaan bangsa Melayu.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Fazreen Fauzi berkata, sumbangan Allahyarham pada era awal kemerdekaan negara amat besar terutama dalam membela nasib anak Melayu, khususnya dalam bidang pendidikan.
“Antara sumbangan besar beliau termasuk memperjuangkan kelas tambahan bagi pelajar sekolah menengah, akses pendidikan tinggi untuk pelajar luar bandar dan keadilan dalam pemberian biasiswa.
“Beliau bukan sahaja membawa suara pelajar Melayu pada awal tahun-tahun pembentukan negara, malah berjaya memartabatkan GPMS sebagai gerakan pelajar Melayu yang berwibawa dan dihormati,” katanya dalam kenyataan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Abdullah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur semalam akibat masalah pernafasan.
Menurut menantunya yang juga bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 7.10 malam tadi pada usia 86 tahun.
Pak Lah yang dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan memegang jawatan Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tambah Fazreen, kepimpinan Allahyarham juga menjadi asas pembentukan dasar afirmatif pendidikan yang kemudian membentuk institusi pendidikan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Katanya, sebagai Perdana Menteri, Allahyarham memperkenalkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang memberi hala tuju jelas terhadap sistem pendidikan nasional.
Tambahnya, beliau turut memperkasa pendidikan tinggi melalui penubuhan Malaysian Qualifications Agency (MQA) bagi menyelaras kualiti institusi pengajian tinggi, di samping memperkukuhkan profesion perguruan sebagai tonggak pembangunan insan.
“Tun Abdullah ialah lambang kepimpinan yang tenang, berakhlak dan berpaksikan pemikiran wasatiyyah. Jasanya dalam memperjuangkan pendidikan Melayu amat besar dan tetap kami kenang sepanjang zaman. Terima kasih, Pak Lah. Perjuanganmu tetap kami teruskan,” katanya. – UTUSAN