ALOR GAJAH: Seorang tukang cuci mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul rakan sekerjanya, minggu lalu.
Tertuduh, Azizul Hamis, 40, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Aiza Khairuddin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah dengan sengaja melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang wanita berusia 21 tahun dengan cara menarik baju dalam dan menghisap payudara mangsa.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3.30 petang dalam bilik rehat sebuah kilang di Simpang Ampat dalam daerah Alor Gajah pada 18 April 2025.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain tidak menawarkan jaminan tetapi mencadankan RM15,000 dengan seorang penjamin sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara beserta syarat tambahan, tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mohd. Fadzlullah Ramlee merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya dan isteri bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan tidak melebihi RM1,500 sebulan, selain menanggung dua anak yang masih kecil.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 10 Jun ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN