JOHOR BAHRU: Tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua wanita yang berhasrat mencari pekerjaan di bandar raya ini tidak kesampaian apabila mereka dicekup pihak berkuasa dalam Op Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 di Plaza Tol Skudai di sini, malam tadi.
Kesemua PATI yang terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh, Vietnam dan Pakistan berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan ketika menaiki sebuah bas ekspres dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur menuju ke Terminal Larkin.
Menurut Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Johor, Nurul Norlisa Abdullah, kesemua mereka didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, malah ada yang langsung tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
“Antara kesalahan yang dilakukan adalah di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 kerana tidak memiliki pas atau permit sah untuk berada di negara ini dan Seksyen 15 (1) (c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya ketika ditemui.
Siasatan awal mendapati, ada dalam kalangan mereka datang ke Johor Bahru untuk mencari pekerjaan selepas gagal mendapatkannya ketika berada di Kuala Lumpur.
Kesemua mereka ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Johor di Setia Tropika untuk siasatan lanjut. – UTUSAN