SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menzahirkan rasa bangga atas kejayaan kerajaan negeri mencatatkan kutipan hasil tertinggi iaitu sebanyak RM636.17 juta berbanding sasaran RM520 juta pada tahun lepas.
Tuanku Muhriz bertitah, prestasi pengurusan kewangan yang membanggakan turut diperoleh untuk tahun ketiga berturut-turut apabila kerajaan negeri berjaya mengubah belanjawan defisit kepada belanjawan surplus.
“Pada tahun 2024, defisit RM46.9 juta telah diubah kepada surplus RM83.07 juta. Ini mengukuhkan lagi kedudukan rizab negeri bagi Akaun Hasil Disatukan iaitu daripada RM410.48 juta pada tahun 2023 kepada RM493.55 juta pada tahun 2024.
“Syabas dan tahniah beta ucapkan kepada semua jabatan-jabatan pemungut hasil, khususnya Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri selaku peneraju utama. Beta berharap kerajaan negeri akan terus merangka strategi dan mencari sumber-sumber baharu dalam usaha meningkatkan lagi kutipan hasil Negeri Sembilan,” titah baginda.
Baginda bertitah dalam Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15 di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Tuanku Muhriz dalam pada itu bertitah, Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) akan terus menjadi pemangkin utama pembangunan Negeri Sembilan dengan tumpuan kepada pembangunan kawasan industri bagi tujuan meningkatkan jumlah pelaburan, melonjakkan ekonomi dan seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
“MVV 2.0 secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan hasil kerajaan negeri melalui bayaran premium tanah pada tahun 2024.
“Antaranya adalah NS Semiconductor Valley yang telah menyumbang RM40 juta, Techpark 3 sebanyak RM40 juta dan SPD Techvalley sebanyak RM30 juta. Lebih mengujakan, bagi tempoh mendatang, beberapa projek pembangunan kawasan perindustrian akan direalisasikan bagi menyokong agenda pembangunan ini,” menurut baginda.
Dalam pada itu, baginda mengingatkan kepada ketua-ketua jabatan terutamanya Jabatan Kerja Raya (JKR) agar sentiasa memantau dan memastikan pelaksanaan projek mengikut jadual.
“Projek-projek pembangunan yang dilaksanakan ini bukan sahaja menggambarkan kemajuan negeri beta malah lebih penting, ia memberi faedah dan manfaat yang dapat dinikmati secara terus oleh rakyat,” titah baginda. – UTUSAN