GERIK: Seorang bekas tentera yang ditahan kerana disyaki menceroboh bangunan dalam kawasan Kompeni C, Batalion Kedua Rejimen 503 Askar Wataniah di sini semalam, direman tiga hari.
Perintah tahanan reman sehingga Jumaat ini dikeluarkan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan dalam prosiding permohonan reman di Mahkamah Majistret Gerik hari ini.
Reman yang dikenakan terhadap suspek itu membolehkan pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menceroboh.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan mahkamah sekitar pukul 9 pagi sebelum dibawa keluar menaiki van polis pada pukul 10.53 pagi.
Media sebelum ini melaporkan, suspek berusia 50 tahun dikenali sebagai Mat ditangkap pada pukul 2.35 petang semalam, selepas disyaki menceroboh kawasan berpagar Kompeni C.
Kes pencerobohan yang berlaku pada pukul 8.45 pagi itu dilaporkan seorang lelaki berusia 42 tahun yang merupakan sukarelawan tentera.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, ketika pengadu berada di lokasi kejadian, dia telah melihat suspek berada dalam kawasan berpagar dan terdapat tulisan pada dinding bangunan dengan perkataan ‘dilarang masuk tanpa urusan’.
Menurut beliau, tulisan tersebut dipercayai dilakukan oleh suspek namun ketika dihampiri, lelaki itu bertindak meninggikan suara dan memarahi pengadu.
“Suspek meninggikan suara dan menyatakan kawasan tersebut adalah tanah miliknya dan menyuruh pengadu keluar sekiranya tidak mahu sakit,” katanya. – UTUSAN