Tragedi Putra Heights: Selangor serah bantuan sewa rumah tiga bulan Khamis ini

Tragedi Putra Heights: Selangor serah bantuan sewa rumah tiga bulan Khamis ini

AMIRUDIN SHARI dalam majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Nestle Malaysia bagi program SELKitar, Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bantuan sewa rumah selama tiga bulan akan disalurkan kepada 396 keluarga mangsa tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights pada Khamis ini.

Bantuan berjumlah RM2,000 sebulan itu bakal diserahkan kerajaan Selangor kepada semua ketua isi rumah yang layak menerimanya.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kesemua 396 ketua isi rumah dikenal pasti layak menerima bantuan kewangan daripada senarai mangsa yang membuat permohonan sebelum ini.

Jelas beliau, kerajaan negeri akan memanggil semua penduduk itu bagi penyerahan bantuan sewa tiga bulan pertama itu.

“Pada Khamis ini, kita akan serah bantuan itu yang akan dimasukkan secara terus ke dalam akaun (bank) mereka.

“Selain penyerahan bantuan kewangan itu, mereka akan diberikan taklimat mengenai proses pembinaan semula rumah yang terjejas dalam tragedi berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Nestle Malaysia bagi program SELKitar di sini, hari ini.

Semalam, penduduk mendakwa belum menerima sebarang penjelasan rasmi mengenai pelan tindakan susulan daripada kerajaan atau pihak berkaitan selepas insiden sudah memasuki hari ke-20.

Biarpun terdapat maklumat awal bahawa Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan menjalankan kerja baik pulih rumah yang rosak, tiada keputusan muktamad atau penjelasan terperinci mengenai spesifikasi pembinaan semula itu.

Amirudin sebelum ini mengumumkan kerajaan negeri akan menanggung keseluruhan sewa sehingga RM2,000 sebulan kepada 613 keluarga mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights yang terpaksa berpindah ke rumah lain berikutan kediaman mereka terjejas.

Bantuan keseluruhan RM7.35 juta itu akan ditanggung selama enam bulan kepada mereka termasuk penyewa untuk menduduki rumah di kawasan berhampiran termasuk kediaman di bawah Skim Smart Sewa di Kota Warisan, Sepang.

Mengulas lanjut, kata Amirudin, penerangan awal berkaitan proses membaik pulih rumah mangsa turut akan diperjelaskan kepada penduduk terlibat.
“Kita telah menghantar proposal (cadangan) kepada kerajaan Persekutuan mengenai kaedah pembaikan itu yang melibatkan aspek peruntukan besar. Kini, kita menunggu keputusan Kabinet dan akan maklumkan jika Jemaah Menteri sudah bersetuju nanti,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya perlu meneliti pelbagai perkara kerana insiden melibatkan kawasan kampung dan taman yang memerlukan pendekatan berbeza.

“Sebab itu kita sudah maklumkan bahawa perlukan antara satu ke dua minggu untuk menjelaskannya. Kita kini ‘on track’ (dalam landasan baik) dan akan membantu mangsa sebaik mungkin. Kita faham kesusahan dihadapi mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya