PETALING JAYA: Beban ditanggung mangsa insiden kebakaran di Putra Heights, Selangor sedikit sebanyak dapat dikurangkan melalui pelbagai bantuan dan khidmat percuma yang dihulur pelbagai agensi kerajaan, pihak swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).
Ia termasuklah bantuan bakul makanan yang turut disampaikan syarikat perkhimdatan e-hailing, MyCar baru-baru ini kepada mangsa yang terlibat.
Ketua Pegawai Eksekutif Platform Apps Sdn. Bhd (MyCar E-hailing), Datuk Noor Sheena Maideen berkata, beliau berbesar hati menghulurkan bantuan berkenaan, sekali gus menjelaskan yang pihaknya komited dalam membantu komuniti yang memerlukan.
“Sebagai seorang manusia biasa, saya simpati sebab perkara ini tidak disangka-sangka, satu perumahan yang harmoni tiba-tiba sahaja ada kes letupan gas, ini semua dugaan dengan apa yang terjadi. Kalau tidak berlaku pada kita, memang kita tidak akan rasa. Itu dari segi mata kasarnya, tetapi dalam hati saya sangat sedih sebab ada kanak-kanak, warga emas.
“Namun, dugaan ini juga memberika semangat kepada saya dan MyCar untuk memberi bantuan kepada masyarakat sebab MyCar adalah satu-satunya syarikat tempatan, jadi kita membantu tidak mengira bangsa, apa sahaja musibah yang datang, kita bantu mana yang kita mampu.
“Alhamdulillah saya sangat berbesar hati dapat memberi sumbangan kepada masyarakat tidak mengira agama dan bangsa. Kita beri pada semua,” katanya dalam satu majlis ringkas baru-baru ini.
Turut hadir, Exco Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti kerajaan negeri Selangor, Ng Sze Han dan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin.
Dalam pada itu, Sze Han dalam satu kenyataan berkata, beliau benar-benar terkesan dengan insiden tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan.
“Saya melihat kesan tragedi letupan paip gas yang masih dirasai penduduk Kampung Kuala Sungai Baru. Di pihak kerajaan Negeri Selangor, saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Sheena dan MyCar kerana sudi memberi bantuan kepada mangsa.
“Terima kasih juga kepada semua penyumbang yang tidak pernah jemu menghulurjkan tangan saat rakyat memerlukan,” ujarnya.-UTUSAN