PETALING JAYA: Bekalan gas di Semenanjung Malaysia di beberapa kawasan zon tengah terganggu ekoran tragedi paip gas Putra Heights pada 1 April lalu.
Suruhanjaya Tenaga (ST) memaklumkan, kejadian berkenaan turut mengakibatkan gangguan bekalan di empat stesen jana kuasa utama di Lembah Klang iaitu Stesen Jana Kuasa Connaught Bridge, Stesen Jana Kuasa Pulau Indah, Stesen Jana Kuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz (KEV) dan Stesen Jana Kuasa Putrajaya.
“Bekalan gas di Semenanjung Malaysia terganggu di beberapa kawasan di zon tengah iaitu Shah Alam, Klang, Serdang, Puchong, Batu Tiga dan Kapar serta beberapa kawasan di zon utara.
“Beberapa pengguna yang terkesan telah mula menerima notis sekatan daripada pembekal masing-masing sehingga 20 April.
“Bekalan gas masih ada dalam kuantiti yang terhad dan keutamaan diberikan kepada perkhidmatan kritikal seperti hospital dan penjanaan elektrik serta keperluan untuk menstabilkan tekanan paip gas,” kata ST dalam kenyataan.
Mengulas bekalan elektrik, ST memaklumkan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia kekal stabil, namun berlaku gangguan di empat stesen jana kuasa utama di Lembah Klang.
Empat lokasi itu adalah Stesen Jana Kuasa Connaught Bridge, Stesen Jana Kuasa Pulau Indah, Stesen Jana Kuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz (KEV) dan Stesen Jana Kuasa Putrajaya.
“Namun, bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia dalam keadaan stabil dengan beberapa langkah mitigasi telah dan akan diambil.
“Antara langkah mitigasi yang diambil termasuk pengoperasian secara optimum stesen-stesen jana kuasa sedia ada termasuk penjanaan berasaskan arang batu dan pemantauan permintaan dan perancangan penjanaan yang lebih terperinci merangkumi pelbagai senario risiko,” menurut kenyataan itu.
Langkah-langkah mitigasi interim juga sedang diteliti secara berterusan dan pihak ST akan menganjurkan sesi libat urus dengan pengguna yang terjejas dalam tempoh terdekat.
ST dengan kerjasama beberapa pihak berkepentingan utama dalam sektor pembekalan gas dan elektrik, sedang memantau secara terperinci situasi pembekalan elektrik dan gas di Semenanjung Malaysia.
“Usaha kini tertumpu kepada menilai kesan gangguan bekalan gas, langkah-langkah mitigasi dan pelan interim dengan mengambil kira pelbagai senario sehingga keadaan pulih.
“Insiden kebakaran paip gas ini merupakan insiden terpencil di Semenanjung Malaysia,” menurut kenyataan itu.
“ST menyeru semua pihak yang terlibat untuk terus bekerjasama dan menggalakkan semua pengguna sentiasa mengutamakan keselamatan serta memastikan penggunaan tenaga secara berhemah agar dapat menangani impak secara kolektif bagi kesejahteraan bersama,” katanya.-UTUSAN