PETALING JAYA: Perkhidmatan van percuma Rapid KL On-Demand bagi mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights ditamatkan hari ini susulan penutupan Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Dewan Masjid Putra Heights.
Prasarana Malaysia Berhad, (Prasarana) berkata sejak diperkenalkan pada 3 April lalu, perkhidmatan itu memanfaatkan lebih 1,100 individu termasuk penduduk terjejas, sukarelawan dan petugas agensi kerajaan.
“Sebanyak 10 van yang beroperasi dari PPS ke kawasan sekitar Putra Heights, Kampung Puchong Tengah dan Kampung Kuala Sungai Baru bagi urusan harian, termasuk mendapatkan barangan keperluan serta membersihkan kediaman.
“Selain itu lima van khas turut disediakan untuk membawa pelajar ke 19 sekolah sekitar Putra Heights, USJ, Seafield dan Shah Alam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Prasarana turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk Kementerian Pengangkutan, kerajaan negeri Selangor, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta sukarelawan yang menjayakan inisiatif ini. – UTUSAN