Tragedi Putra Height: Bekalan gas di beberapa kawasan terjejas

Tragedi Putra Height: Bekalan gas di beberapa kawasan terjejas

KEADAAN terkini kawasan perumahan di Jalan Putra Harmoni, Subang Jaya, Selangor yang terjejas akibat letupan paip gas ketika tinjauan pada hari keenam insiden. UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekalan gas di Semenanjung Malaysia terganggu di beberapa kawasan di zon tengah di sekitar Selangor susulan insiden letupan paip gas di Putra Heights baru-baru ini.

Kawasan terlibat ialah Shah Alam, Klang, Serdang, Puchong, Batu Tiga dan Kapar serta di beberapa kawasan di zon utara.

Menurut Suruhanjaya Tenaga (ST), beberapa pengguna yang terkesan mula menerima notis sekatan daripada pembekal masing-masing sehingga 20 April ini.

“Bekalan gas masih ada dalam kuantiti yang terhad dan keutamaan diberikan kepada perkhidmatan kritikal seperti hospital dan penjanaan elektrik, serta keperluan untuk menstabilkan tekanan paip gas.

“Insiden ini juga telah menyebabkan berlakunya gangguan bekalan gas kepada empat stesen janakuasa utama yang berada di Lembah Klang iaitu Stesen Janakuasa (SJ) Connaught Bridge, SJ Pulau Indah, SJ Sultan Salahuddin Abdul Aziz (KEV) dan SJ Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ST berkata, bagaimanapun, bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia dalam keadaan stabil dengan beberapa langkah mitigasi telah dan akan diambil.

Ini antaranya pengoperasian secara optimum stesen-stesen janakuasa sedia ada termasuk penjanaan berasaskan arang batu.

Selain itu ialah kesiapsediaan (standby) pengoperasian stesen janakuasa yang terkesan menggunakan distillate fuel dan MFO.

“Pemantauan permintaan dan perancangan penjanaan (power dispatch) dilakukan yang lebih terperinci merangkumi pelbagai senario risiko.

“Langkah-langkah mitigasi interim sedang diteliti secara berterusan. Pihak ST juga akan menganjurkan sesi libat urus dengan pengguna-pengguna yang terjejas dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Dalam pada itu, ST memaklumkan, insiden letupan paip gas ini merupakan insiden terpencil di Semenanjung Malaysia.

Oleh itu, pihak ST menyeru pihak-pihak yang terlibat untuk terus bekerjasama dan semua pengguna sentiasa mengutamakan keselamatan serta memastikan penggunaan tenaga secara berhemah agar dapat menangani impak secara kolektif bagi kesejahteraan bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN