SUBANG JAYA: Projek pembangunan berhampiran lokasi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights mendapat kelulusan sah dan permit daripada pihak berkuasa tempatan.
Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada pengadu dan sudah memberikan maklum balas mengenai kerja-kerja penggalian yang dibuat mempunyai permit.
“Laporan itu diberikan kepada pengadu melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan kita sudah turun ke lokasi kejadian dan mendapati semuanya adalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memiliki permit.
“Permit MBSJ diberikan kepada pihak kontraktor yang melakukan kerja-kerja penggalian dan pengorekan di rizab laluan jalan MBSJ yang merintangi Rizab Laluan (ROW). Permit Petronas diberikan untuk kerja-kerja dalam ROW itu,” katanya dalam sidang akhbar di Putra Heights, hari ini.
Sebelum ini, tular dalam media sosial projek berkenaan tidak mendapat kelulusan selain melanggar peraturan yang ditetapkan.
Kebakaran yang dipercayai berpunca daripada letupan saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni itu telah menyebabkan kemusnahan besar.
Seramai 305 orang menjadi mangsa dengan kebanyakannya mengalami kecederaan akibat melecur serta tersedut asap panas. – UTUSAN