Tragedi kebakaran paip gas: Suami isteri enam anak buntu cari rumah sewa

Tragedi kebakaran paip gas: Suami isteri enam anak buntu cari rumah sewa

KEADAAN semasa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA : Sepasang suami isteri kini buntu untuk untuk mencari tempat tinggal buat berlindung bersama enam orang anak mereka selepas rumah yang disewa mereka di Kampung Kuala Sungai Baru musnah dalam insiden kebakaran saluran paip gas 1 April lalu.

Faizul Khairi Mat Sarji, 39, berkata, dia juga bimbang apabila isterinya kini dalam keadaan sarat hamil dan dijangka akan bersalin pada hujung bulan ini.

Jelasnya, dia sekeluarga kini tinggal di sebuah hotel selepas ditaja oleh Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning selama 10 hari dan kemudiannya dilanjutkan lapan hari lagi berikutan keadaan rumah yang masih belum dibaik pulih sepenuhnya.

“Saya risau sebab isteri bila-bila masa saja boleh bersalin, tapi kami belum ada rumah tetap. Kami ditaja untuk menginap 10 hari, kemudian dilanjutkan lapan hari lagi sebab rumah masih tidak selamat.

“Sekarang kami tinggal di hotel bersama lebih 20 keluarga lain yang turut terjejas. Saya sewa tiga bilik kerana anak ramai iaitu enam orang, berumur antara satu hingga 17 tahun,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, di sini hari ini.

Mengimbas kembali, Faizul Khairi yang juga seorang penjawat awam berkata, ketika kejadian dia sekeluarga berada di kampung untuk menyambut Aidilfitri.

Katanya, apabila pulang dan selepas dibenarkan pihak berkuasa untuk memasuki rumah, dia mendapati lebih 30 peratus barangan rosak teruk.

“Selepas hujan lebat baru-baru ini, keadaan jadi lebih teruk. Air hujan masuk ke dalam rumah, peralatan elektrik rosak, bumbung bocor dan lantai penuh lumpur. Anggaran kerugian mencecah RM30,000,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia memberitahu masih mencari rumah sewa baharu di kawasan sekitar Putra Heights bagi memudahkan urusan persekolahan anak-anaknya.

“Namun saya menghadapi kesukaran berikutan permintaan yang tinggi daripada mangsa lain yang turut terjejas.

“Kalau rumah sekarang siap dibaiki dan selamat diduduki, saya sanggup kembali tinggal di situ. Tetapi buat masa ini, semuanya belum pasti,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya