KUALA LUMPUR: Seorang jururawat persendirian mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya khidmat peguam yang tidak wujud, dua tahun lalu.
Tertuduh, Norelyyani Zakharudin, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret M.S. Arunjothy.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa telah memperdayakan mangsa untuk membuat bayaran bagi mendapatkan khidmat peguam yang tidak wujud berjumlah RM10,700 di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Keramat Mall, Wangsa Maju di sini pada 30 Oktober 2023 hingga 10 November 2023 lalu.
Kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Vivi’Asnita Zaina’Larifin memohon supaya hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh sebagai pengajaran dan mengambil kira kesalahan itu telah menyebabkan kerugian kepada mangsa.
Peguam bela, Muhd Akmal Amsyar Muhamad Ali yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan tertuduh merupakan ibu tunggal.
“Tertuduh perlu menanggung tiga orang anak berusia 17 tahun, 14 tahun dan 11 tahun, termasuk ibu yang sakit.
“Ini juga merupakan kesalahan tertuduh dan dia juga telah kesal dengan perbuatannya,” kata peguam itu.
Selepas mendengar kedua hujahan, mahkamah menetapkan hukuman denda sebanyak RM4,000 dan lima bulan penjara jika gagal bayar. – UTUSAN