MARANG: Seorang pemuda di Kampung Gong Nangka di sini sanggup meninggalkan dunia kimpalan yang menjana pendapatan lumayan, demi minatnya terhadap pembuatan pisau dan mahu meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
Mohd. Walid Jalaluddin Abu Osman, 37, berkata, sebelum bergelar tukang pisau secara sepenuh masa kira-kira tujuh tahun lalu, dia mempunyai bengkel kimpalan dengan pengalaman bermain besi bermula 2009.
Bapa empat anak berusia antara dua hingga 10 tahun itu berkata, minatnya terhadap pembuatan pisau bermula selepas tertarik melihat pisau-pisau dimiliki Allahyarham bapanya, Abu Osman Ibrahim yang merupakan seorang tukang sembelih.
“Sekitar 2014, saya beranikan diri cuba hasilkan bilah pisau sendiri demi kepuasan diri. Saya banyak belajar melalui pemerhatian dan tunjuk ajar tukang-tukang sedia ada yang sudi berkongsi ilmu semasa ke bengkel mereka.
“Setahun sebelum itu saya lebih berminat dengan pembuatan sarung pisau dan cuba menghasilkannya kerana telah ada asas kayu, memandangkan arwah ayah juga seorang tukang rumah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya.
Tambah Mohd. Walid, pada 2018, dia bertekad meninggalkan dunia kimpalan dan menjalankan perusahaan pembuatan pisau sepenuh masa kerana minat serta keluarga.
“Pendapatan saya ketika mempunyai bengkel kimpalan dulu pernah cecah RM40,000 sebulan tetapi masa bersama keluarga terhad. Isteri, Azlina Abdullah, 37, bertugas sebagai jururawat dan anak-anak pula semakin membesar,” jelasnya. – UTUSAN