IPOH: Kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik premis tidak berpenghuni atau lot-lot kosong yang menjadi tempat pembiakan aedes.
Pengerusi Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri Perak, A. Sivanesan berkata, tindakan akan diambil di bawah Seksyen 8 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 (Akta 154).
Beliau berkata, pemilik tanah dan premis yang tidak menguruskan kediaman dengan baik sehingga menjadi punca pembiakan ades akan dikenakan tindakan undang-undang.
“Dengan penggunaan akta ini, tanggungjawab pembersihan lot-lot tersebut diserahkan kepada pemilik.
“Pembersihan mesti dilakukan dalam tempoh lima hingga tujuh hari selepas arahan diserahkan kepada pemilik,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Denggi Peringkat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Katanya, kegagalan membersihkan kediaman dengan baik dalam tempoh yang ditetapkan akan menyebabkan pemilik didakwa di mahkamah.
“Tindakan mahkamah akan diambil kepada pemilik-pemilik yang gagal mematuhi arahan kerja seperti dalam Notis Seksyen 8 yang dikeluarkan.
“Sekiranya disabitkan kesalahan, denda maksimum berjumlah RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Menurutnya, bagi kesalahan yang berulang, denda maksimum adalah RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Sivanesan berkata, bagi pemilik premis kosong yang sukar dikesan, carian akan dilakukan melalui pejabat daerah dan tanah.
Menurutnya, kerajaan negeri mencadangkan pengecualian bayaran antara RM40 hingga RM60 untuk carian maklumat pemilik di pejabat tanah bagi kes yang berkepentingan awam.
“Jika pemilik tidak dapat dikesan dan premis tersebut gagal dibersihkan, kerajaan negeri boleh mendapatkan deklarasi Mahkamah Sesyen untuk masuk dan bersihkan kawasan itu.
“Kita juga akan semak sama ada pemilik membayar cukai tanah dan cukai pintu. Jika tidak, harta tersebut boleh dirampas dan dilelong,” katanya.
Beliau berkata, sehingga Minggu Epidemiologi 13, laporan kes denggi di negeri ini menunjukkan penurunan yang ketara iaitu 780 kes berbanding 2,457 kes pada tempoh sama tahun lalu.
“Penurunan signifikan kes denggi adalah hasil penurunan kes di daerah Kinta yang sebelum ini menjadi lokasi penyumbang terbesar kes denggi di negeri ini,” katanya. – UTUSAN