Tindakan Ahli Parlimen Raub tidak wakili parti - Utusan Malaysia

Tindakan Ahli Parlimen Raub tidak wakili parti

WAN Rosdy Wan Ismail (empat dari kanan) bersama jentera BN ketika melawat bilik gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Simpang Tiga, Bidor hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Tindakan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dalam operasi membabitkan kebun durian Musang King di Raub oleh Chow Yu Hui disifatkan sebagai perbuatan individu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan Yu Hui yang juga Ahli Parlimen Raub itu sama sekali tidak mencerminkan pendirian parti.

“Itu (menghalang penjawat awam) tidak mencerminkan keseluruhan dan dia mengambil tindakan secara individu.

“Kita telah serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan. Negara kita ada peraturan dan undang-undang yang wajib dipatuhi,” katanya ketika ditemui pemberita di bilik gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Simpang Tiga, Bidor di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata demikian bagi mengulas desakan Pas untuk UMNO menyatakan pendirian terhadap tindakan wakil rakyat DAP dalam isu pencerobohan tanah haram untuk penanaman durian Musang King di atas tanah kerajaan di Pahang.

Beliau makan tengah hari bersama jentera dan pengundi PDM yang turut dihadiri calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir.

Sementara itu, mengulas mengenai isu kebun durian Musang King di Raub yang kemungkinan dijadikan bahan kempen parti lawan, beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan untuk dilakukan.

Jelasnya, beliau percaya parti lawan akan menggunakan apa sahaja isu untuk dijadikan modal sepanjang kempen PRK DUN Ayer Kuning berlangsung meskipun ia merupakan perkara tidak benar.

“Sedangkan tidak ada kebenaran (guna gambar individu) pun mereka boleh buat poster. Mereka akan gunakan apa sahaja walaupun perkara itu tidak betul kerana mereka tidak ada modal berbanding kita.

“Kita beritahu pengundi apa kita mahu buat contohnya kalau calon kita menang, kita akan teruskan kesinambungan (wakil rakyat terdahulu), akan bantu dan jaga kebajikan rakyat selain memudahkan kerja wakil rakyat kerana sealiran dengan kerajaan.

“Itu yang kita mahu bawa bukannya menimbulkan persepsi dan fitnah atau perkara yang terang-terang salah dari segi peraturan seperti penggunaan gambar.

“Kalau isu durian Musang King, mahkamah telah pun buat keputusan, jadi saya ingat perkara itu sepatutnya tidak jadi isu. Sebagai rakyat Malaysia yang patuh kepada Perlembagaan dan Rukun Negara kita kena akur,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya