Tiga suspek curi kabel ERL diberkas polis, dua masih bebas

Tiga suspek curi kabel ERL diberkas polis, dua masih bebas

Perkhidmatan tren KLIA Ekspres dan KLIA Transit mengalami gangguan serius susulan perbuatan vandalisme. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Tiga suspek kes curi kabel sistem isyarat di laluan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) berhampiran stesen Salak Tinggi, di sini pada Khamis lalu akhirnya diberkas polis pagi tadi.

Tiga suspek masing-masing berusia 25 hingga 50 tahun itu ditahan di sekitar daerah ini sekitar pukul 5 hingga 8 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, penahanan tiga suspek itu berjaya menyelesaikan tiga kes kecurian kabel ERL yang dilaporkan di daerah ini.

Beliau berkata, turut dirampas bersama suspek termasuk empat unit telefon bimbit, dua helai baju, dua pasang selipar, dua buah motorsikal dan dua unit topi keledar.

“Siasatan awal mendapati, ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.

“Kami juga dalam usaha mengesan dua lagi suspek yang masih bebas. Malah, kabel yang dicuri juga belum ditemukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379/447 Kanun Keseksaan dimana Seksyen 379 memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Manakala, Seksyen 447 Kanun Keseksaan pula boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai enam bulan, atau dengan denda atau kedua-duanya.

Dalam insiden itu, ERL berdepan kerugian RM12,000 yang turut menyebabkan perkhidmatan ERL mengalami gangguan apabila kabel perkhidmatan kereta api itu dipotong pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut ERL, berikutan itu perkhidmatan pengantara antara stesen Putrajaya dan Cyberjaya dan KL Sentral disediakan bermula jam 6 pagi dengan kekerapan selama 20 minit.

Katanya, perkhidmatan pengantara antara stesen Salak Tinggi dan Terminal 1 dan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disediakan bermula pukul 6.20 pagi dengan kekerapan selama 20 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya