KUANTAN: Kerajaan negeri bekerjasama dengan tiga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam usaha memperluas sektor penanaman padi di negeri ini bagi meningkatkan bekalan beras putih tempatan (BPT).
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah tersebut diambil bagi menampung keperluan rakyat di Pahang dan mengurangkan kebergantungan terhadap import beras.
“Antara penglibatan GLC yang telah dilaksanakan ialah Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) di kawasan Merchong melibatkan 525 hektar, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) di Rompin seluas 1,214 hektar dan terkini Yayasan Pahang di kawasan Ganchong seluas 202 hektar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah sesi perbahasan Sim Chon Siang (PH-Teruntum) terhadap soalan tambahan yang dibangkitkan Datuk Andansura Rabu (PN-Beserah) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Terdahulu, Andansura meminta penjelasan kerajaan negeri berhubung inisiatif yang diambil untuk menangani isu kekurangan bekalan BPT memandangkan terdapat pengurangan peruntukan Belanjawan Pahang 2025 bagi sektor pertanian, industri dan asas tani, iaitu sebanyak RM36.78 juta berbanding RM58.93 juta pada tahun sebelumnya.
Mengulas perkara itu, Wan Rosdy menjelaskan bahawa pengeluaran BPT di negara ini sememangnya masih rendah iaitu sekitar 60 peratus.
“Disebabkan itu, kita masih perlu mengimport beras bagi menampung kekurangan tersebut. Antara faktornya ialah kawasan sawah padi semakin mengecil, khususnya di Kedah yang menjadi negeri pengeluar utama tetapi banyak kawasan sawah telah ditukar kepada projek perumahan,” katanya. – UTUSAN