Tidak lepaskan peluang mengundi sebelum pencen - Utusan Malaysia

Tidak lepaskan peluang mengundi sebelum pencen

KOPERAL Mahamat Udin yang berkerusi roda dibantu petugas SPR ke tempat mengundi di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan Batalion 3 PGA Bidor hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Biarpun dalam keadaan ‘uzur’, seorang anggota polis, Koperal Mahamat Udin, 59, tidak mahu melepaskan peluang mengundi awal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning hari ini.

Menurut Mahamat, pengundian hari ini adalah tanggungjawab terakhirnya sebagai pengundi awal sebelum bersara wajib dalam perkhidmatan pada September ini.

“Ini adalah tanggungjawab saya, walaupun sakit dan badan lemah kesan kemalangan beberapa tahun lalu, saya tetap gagahkan diri untuk hadir ke sini.

“Lagi pun, ini adalah pengalaman pertama saya mengundi secara fizikal iaitu mencelup jari dengan dakwat, sebelum ini undi secara pos,” katanya.

Beliau ditemui pemberita di pusat mengundi di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor di sini hari ini.

Sementara itu, seorang ibu dalam pantang, Surya Mat, 40, mencuri perhatian apabila hadir berkerusi roda sambil memangku bayi lelaki, Shein Alfie Shukor berusia 32 hari.

Menurut ibu kepada empat anak itu, dia bangun awal sekitar pukul 7 pagi untuk menyiapkan diri dan anaknya sebelum dibawa suami ke pusat mengundi.

“Tiada siapa yang jaga anak di rumah, jadi saya bawa dia ke sini. Tiada masalah untuk datang sebab di sini pun ada disediakan kerusi roda. Jadi memudahkan saya bergerak,” katanya.

Menurut Surya, sejak melepasi had umur yang dibenarkan mengundi, dia tidak melepaskan peluang membuang undi pada setiap kali pilihan raya.

“Ini adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia dan saya teruja untuk membuang undi walaupun masih dalam pantang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya