KUALA LUMPUR: Tuduhan terhadap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berdiam diri dan tidak turun padang di kawasan kebakaran paip gas yang bocor di Putra Heights, Subang Jaya lalu oleh sesetengah pihak adalah tidak benar dan ia tidak perlu dilayan.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, tuduhan itu tidak wajar dilayan malah pihaknya sedang mencari jalan serta memfokuskan untuk menyelesaikan semua masalah rakyat terutama mangsa kebakaran tersebut.
“Sebenarnya, semua tuduhan itu tidak perlu kita layan. Apa yang lebih penting adalah menyelesaikan masalah rakyat. Kita boleh lihat bagaimana Tuanku Agong sendiri telah turun padang menghulurkan pelbagai bentuk bantuan.
“Setakat hari ini, hampir semua kementerian telah menyalurkan bantuan seperti Kementerian Digital memberikan tablet dan telefon, Kementerian Pendidikan menyediakan perkhidmatan bas percuma, malah DAP juga telah mengumpul dana dan menyalurkannya 100 peratus kepada mangsa.
“Semua orang membantu, jadi mari kita fokus kepada kerja dan menyediakan penyelesaian yang menyeluruh,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hari ini akan terdapat perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyelesaikan setiap masalah yang dialami mangsa yang terkesan daripada kebakaran paip gas yang bocor di Putra Heights.
“Selepas ini saya akan berjumpa dengan Perdana Menteri untuk berbincang apakah formula dan bagaimana untuk menolong mangsa. Segala keputusan akan kami umumkan dalam masa terdekat.
“Perjumpaan dengan Perdana Menteri pada jam 11 pagi ini,”katanya. – UTUSAN