'Tiada ubat, tiada potong' - Nadeera nafi ambil ubat, bedah untuk turun berat

‘Tiada ubat, tiada potong’ – Nadeera nafi ambil ubat, bedah untuk turun berat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Nadeera menafikan dakwaan dirinya mengambil ubat-ubatan atau menjalani pembedahan untuk menurunkan berat badan terutama selepas mendapat pujian lebih cantik dan berseri di dalam sebuah video yang dikongsikan di platform TikTok.

Menurut penyanyi lagu Bukan Lagi Kita itu, dia berjaya menurunkan 10 kilogram (kg) dalam tempoh enam hingga lapan bulan dengan tidak mengambil gula langsung dalam rutin makanan hariannya.

“Dah beberapa bulan, saya diet dengan tidak ambil langsung gula. Jadi dalam masa enam hingga lapan bulan itu, saya dapat turunkan berat badan daripada 52 kg kepada 42 kg,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Raya di Glam Hall Neo Damansara, semalam.

Tambahnya, selain membantu penampilan diri, perubahan itu turut membantu dari segi nyanyian dan tahap tenaga.

“Nyanyian pun orang kata lagi senang untuk saya mencuri nafas. Saya pun rasa lebih yakin bila berhadapan dengan orang ramai,” katanya.

Katanya, keputusan untuk menjaga berat badan dibuat selepas menyedari sukar menyanyi dengan baik sewaktu rakaman lagu baharu kerana masalah pernafasan.

“Saya perasan pernafasan saya agak mengah dan nyanyian pun tak sampai masa itu. Jadi waktu itu, saya tahu saya kena kurangkan berat badan. Ini semua bukan sebab sindiran orang, saya buat sebab nak jaga kesihatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN