Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan tiada rombakan Kabinet berlaku susulan ‘tumbangnya’ beberapa nama besar dalam pemilihan PKR ketika ini.
Perdana Menteri berkata, pemilihan di peringkat parti itu tiada kaitan dengan rombakan Kabinet.
“Tiada (tiada rombakan Kabinet), ini hanya pemilihan parti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini hari ini.
Katanya, segala isu dan masalah berbangkit mengenai isu pemilihan itu akan dibincangkan pada mesyuarat khas pada Rabu ini.
Anwar turut menjelaskan operasi Kerajaan Madani ketika ini berjalan seperti biasa.
“Ini soal parti dan tiada timbul soal kerajaan negeri atau Persekutuan. Jalan seperti biasa (urusan Kabinet).
“Saya melihat barisan Kabinet itu dari segi prestasi masing-masing dan bukannya dari segi percaturan politik,” katanya.
Sebelum ini, Pemilihan PKR Peringkat Cabang, Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) bermula 11 April lalu yang menyaksikan beberapa nama besar termasuk individu berstatus menteri dan ahli Parlimen tewas.
Antaranya yang ‘tumbang’ termasuk Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim tewas bagi pemilihan jawatan Timbalan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya dan Timbalan Menteri Perpaduan, K. Saraswathy tewas bagi Cabang Bukit Bintang.
Turut kecundang Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang gagal mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor Bahru.
Selain itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan (Wangsa Maju); Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran (Batu); Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau); dan EXCO Pulau Pinang, Fahmi Zainol (Jelutong). – UTUSAN