IPOH: Tiada pilih kasih terhadap mereka yang melanggar peraturan berucap di dalam masjid atau surau di negeri ini, sama ada pemimpin daripada parti kerajaan mahupun pembangkang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu adalah menurut titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang tidak mahu penglibatan ahli politik dalam institusi masjid dan surau kerana khuatir perpecahan umat Islam.
“Semua orang termasuk Menteri Besar terikat dengan titah tuanku supaya masjid dan surau tidak digunakan oleh mana-mana ahli politik (untuk berucap).
“Saya telah maklumkan kepada dia (bekas wakil rakyat) bahawa kita terikat dan tak boleh lakukannya. Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah ambil tindakan terhadap Pengerusi dan Setiausaha masjid berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Sallehuddin Abdullah (Pas-Selinsing) berkenaan usaha kerajaan negeri dalam memperkasakan institusi masjid di Perak dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Soalan itu dibangkitkan susulan tular dalam media sosial berkenaan seorang bekas wakil rakyat dikatakan memberi ucapan di sebuah masjid di Kuala Kangsar.
Sementara itu, Saarani berkata penganjuran program sukan elektronik (e-sport) di masjid-masjid negeri ini merupakan antara usaha menarik golongan muda beriadah dan mendekati masjid.
Katanya sepanjang tahun 2024, usaha itu dilaksanakan bersama JAIPk dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak di beberapa buah masjid iaitu Masjid Sultan Azlan Shah (Ipoh), Masjid An-Nur (Kampar) dan Masjid Bandar Universiti (Seri Iskandar).
“Kerajaan negeri telah mewujudkan Garis Panduan Masjid Sebagai Pusat Kegiatan Komuniti Negeri Perak Darul Ridzuan pada tahun 2020 bagi memperkasakan peranan masjid sebagai hab pembangunan ummah.
“Masjid hendaklah memenuhi fungsi pusat kegiatan utama yang telah ditetapkan iaitu sebagai pusat ibadah dan dakwah, pusat sosial, pusat ekonomi, pusat teknologi dan informasi serta pusat generasi muda dan pembinaan insan,” katanya. – UTUSAN