Tiada perlombongan bijih timah dasar laut di Sungai Batu - Utusan Malaysia

Tiada perlombongan bijih timah dasar laut di Sungai Batu

SAARANI Mohamad pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Ipoh semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiada sebarang aktiviti perlombongan bijih timah dasar laut sedang dijalankan di pesisir pantai atau di muara Sungai Batu, Daerah Manjung seperti yang didakwa.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mengesahkan tiada Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) dikeluarkan untuk aktiviti perlombongan di kawasan tersebut.

Menurutnya, sebarang aktiviti perlombongan hanya boleh dijalankan setelah mendapat kelulusan SKSPM daripada JMG.

Beliau berkata, walaupun terdapat permohonan yang telah diterima, ia masih dalam peringkat penilaian di peringkat Jawatankuasa SKSPM JMG Ibu Pejabat dan tiada sebarang kelulusan untuk beroperasi telah dikeluarkan.

“Ketika ini hanya aktiviti perlombongan pasir silika sahaja yang dijalankan oleh pemaju berdasarkan kepada kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (DEIA) dan Laporan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bertarikh 13 Jun 2023 yang telah diberikan kepada pihak syarikat.

“Lokasi aktiviti tersebut terletak lima kilometer dari kawasan pendaratan penyu di Pantai Pasir Panjang,” katanya semasa penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini semalam.

Saarani berkata, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak memaklumkan berdasarkan pengubahan Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Manjung 2030, kawasan pesisir pantai tersebut telah dikenal pasti sebagai kategori Kawasan Sensitif Alam Sekitar Persisiran Pantai (KSAS) Tahap 3 terhadap ekosistem sumber marin dan tidak dibenarkan untuk sebarang aktiviti perlombongan.

Menurutnya, keputusan juga telah dibuat di peringkat Jawatankuasa Teknikal Geospatial Pembangunan Mineral Bil. 1/2024 pada 7 Oktober 2024 untuk tidak mempertimbangkan sebarang permohonan perlombongan atau pembaharuan lesen di kawasan tersebut, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri dalam menjaga kepentingan alam sekitar dan komuniti nelayan.

“Kerajaan negeri komited untuk terus memantau kawasan ini dan akan mengambil tindakan serta-merta untuk menghentikan sebarang aktiviti perlombongan tanpa kelulusan yang sah sekiranya dikesan berlaku,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya