KUALA LUMPUR: “Insya-Allah. Tak pasti apa hikmahnya.”
Demikian respons penyanyi, Umar Uzair yang terpaksa melupakan hasrat untuk membuat persembahan pada Festival Filem dan Puisi Antarabangsa ke-12 (IPVF12) susulan pembatalan penerbangan ke Athens, Greece berikutan rusuhan dan mogok pekerja yang berlaku besar-besaran di negara itu.
Umar, bersama enam individu yang menyertai rombongan berkenaan, memaklumkan terpaksa akur apabila terkandas di Abu Dhabi kerana penerbangan mereka ke Athens yang dijadualkan tiga hari lalu dibatalkan ekoran rusuhan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya telah memutuskan untuk merombak perancangan sebaik ditawarkan syarikat penerbangan terbabit untuk menukar destinasi ke beberapa lokasi termasuk Rome dan Milan.
”Saya pilih Istanbul dan sudah pun selamat tiba di sini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Persatuan buruh di Greece melancarkan rusuhan dan mogok besar-besaran bagi mendesak kerajaannya mengkaji semula dan menaikkan kadar gaji susulan kenaikan kos sara hidup yang melanda negara itu.
Rusuhan itu mengakibatkan gangguan perkhidmatan awam, menjejaskan perkhidmatan feri dan penerbangan selain hampir melumpuhkan beberapa perkhidmatan pengangkutan awam yang lain.
Umar dalam kenyataan yang dikongsikannya baru-baru ini memaklumkan telah memutuskan untuk terus berada di Istanbul bagi beberapa hari meskipun pihaknya maklum mengenai laluan darat dan laut ke Athens dari Turki.
“Setelah dikaji, tempoh perjalanan melalui dua laluan tersebut, dari Istanbul ke Athens adalah sekitar 15 jam. Justeru saya dan seluruh peserta rombongan memutuskan untuk terus berada di Istanbul,” katanya.
Umar tidak mensia-siakan keberadaan di Istanbul dengan menyanyikan secara akapela dua buah lagu, Hati ke Hati dan Balada Tengkujuh di lokasi bersejarah iaitu di bekas tapak simpanan air yang dibangunkan sekitar zaman Byzantin.
Persembahan itu dirakam dan ditayangkan secara maya sempena IPVF12 yang berlangsung pada 11 dan 12 April lalu.
Festival antarabangsa yang kendalikan aktres Sissy Doutsoue itu menghimpunkan lebih 33 artis dan seniman puisi dari lebih 43 negara. IPVF kali ini juga mempertontonkan 97 filem puisi pelbagai bahasa. – UTUSAN