KUALA LUMPUR: Tiada layanan istimewa diberikan kepada ketua balai polis yang ditangkap baru-baru ini kerana mengambil dadah ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di Pandan Perdana, Ampang dekat sini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dakwaan wujudnya layanan dua darjat dalam tindakan yang diambil terhadap ketua balai polis itu adalah tidak benar memandangkan pegawai berkenaan telah direman selama sehari, selepas didapati positif dadah.
“Tiada layanan istimewa diberikan dalam kes ini. Dia telah ditahan dan direman sementara kami menyediakan kertas siasatan
“Pemindahannya ke Pulau Pinang dibuat selepas kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambah Razarudin, pegawai tersebut akan terus berkhidmat dalam peranan yang kurang aktif di Pulau Pinang, sementara pihaknya menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara.
“Jika mereka mengarahkan kita untuk mendakwanya, kita akan lakukan tanpa sebarang keraguan.
“Ingin ditegaskan, kita (polis) tidak akan melindungi mana-mana anggota yang melanggar undang-undang atau melakukan salah laku,” jelasnya.
Ujarnya, tindakan tatatertib serta undang-undang yang tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang melakukan jenayah, sama ada orang awam atau anggota polis.
“Amaran telah diberikan sebelum ini dan nasihat juga telah disampaikan kepada semua anggota. Mereka yang melanggar undang-undang akan menerima akibatnya,” katanya.
Terdahulu, seorang ketua balai polis dilaporkan ditangkap kerana mengambil dadah ketika berparti di sebuah pusat hiburan minggu lalu, kemudian dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pegawai yang berkhidmat di sebuah balai di Kuala Lumpur menerima arahan pemindahan ke IPK Pulau Pinang pada hari sama dia ditangkap.
Pegawai berusia 43 tahun itu ditangkap selepas pemeriksaan mengejut oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, susulan aduan dan risikan yang diterima pada 20 April lalu.
Suspek didapati positif amphetamine, methamphetamine, ketamin, dan benzodiazepine hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atasnya. – UTUSAN