PETALING JAYA: Siasatan berhubung kesilapan memaparkan Jalur Gemilang yang tidak lengkap melibatkan tiga pihak termasuk Kementerian Pendidikan (KPM) akan dilakukan secara adil tanpa layanan dua darjat.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kegusaran terhadap beberapa insiden melibatkan bendera rasmi negara itu.
“Kesilapan ini dipercayai berpunca daripada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan imej tersebut.
“Sama ada sengaja atau pun tidak, ia tetap menyentuh sensitiviti nasional yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya menerusi taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri mahu tiada layanan dua darjat dalam siasatan isu tersebut.
“Siasatan dilakukan tanpa mengira pihak yang terlibat, sama ada media tempatan, syarikat antarabangsa mahupun agensi kerajaan sama sekali.
“Prinsip keadilan dan hormat kepada simbol negara mesti ditegakkan oleh semua tanpa pengecualian. Semua pihak perlu lebih peka dan berhati-hati dalam soal penerbitan bahan berkaitan simbol atau maruah negara,” katanya.
Beliau berkata, walaupun Perdana Menteri menyambut baik inovasi dalam bidang teknologi termasuk AI yang kian meluas dalam pelbagai sektor namun menegaskan bahawa AI tidak boleh mengambil alih tanggungjawab editorial dan kawalan kualiti oleh manusia.
“Setiap bahan yang melibatkan simbol negara atau sensitiviti rakyat mesti melalui semakan dengan teliti, dengan semangat hormat dan tanggungjawab bersama.
“AI ialah alat yang hebat tetapi jika ia digunakan secara cuai ia boleh mengundang implikasi terhadap keharmonian dan perpaduan negara,” katanya. – UTUSAN