'Tiada isu tanah perkuburan Islam tidak cukup di Pulau Pinang'

‘Tiada isu tanah perkuburan Islam tidak cukup di Pulau Pinang’

MOHAMAD Abdul Hamid (kanan) cuba mengemudi jengkaut ketika Majlis Pecah Tanah Perkuburan Islam Berpusat di Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Tidak wujud sebarang isu berkaitan kekurangan tanah perkuburan Islam di Pulau Pinang seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak sebelum ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, sebaliknya, isu yang timbul ialah kebanyakan penduduk tidak mahu jenazah ahli keluarga mereka dikebumikan jauh dari kawasan kariah yang mereka diami.

Mohamad berkata, kerajaan negeri bagaimanapun mengambil maklum akan kesukaran yang dihadapi oleh sesetengah kawasan kariah seperti di Sungai Dua yang terpaksa mengebumikan jenazah jauh dari kawasan mereka disebabkan tanah perkuburan Islam yang terhad di kawasan itu.

Justeru, beliau berharap agar projek kawasan perkuburan Islam berpusat bagi daerah Seberang Perai Utara (SPU) yang akan bermula bulan depan sebagai contoh mampu mengatasi isu berkenaan.

“Projek ini (tanah perkuburan Islam berpusat) akan dibangunkan secara berfasa dengan fasa pertama melibatkan kerja-kerja menambun tanah di atas kawasan seluas 0.61 hektar dengan peruntukan sebanyak RM700,000.

“Secara keseluruhannya, proses pengambilan tanah untuk projek ini adalah sebanyak lima ekar (2.02 hektar) yang berjumlah RM2.2 juta. Kita akan mulakan berperingkat dengan fasa pertama (di kawasan seluas 0.61 hektar) dan diikuti dengan fasa kedua (kira-kira 0.81 hektar).

“Sekiranya fasa pertama dan kedua ini (yang melibatkan keluasan sebanyak 1.42 hektar) mencukupi, maka, lebihan tanah yang ada akan digunakan untuk membangunkan projek lain pula,” katanya selepas Majlis Pecah Tanah Perkuburan Islam Berpusat di Sungai Dua, di sini, petang tadi.

Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa cuba untuk menangani isu berkaitan tanah perkuburan Islam itu secara terancang dan bersistematik.

“Sebab itu saya kata, di Pulau Pinang ini, tak ada isu tanah kubur sebenarnya. Kalau betul (tanah perkuburan Islam) penuh, Jawatankuasa Fatwa sudah tentu telah putuskan sejak isu yang berlaku di Masjid Al Jamiul Badawi pada tahun 2001.

“Sebenarnya, Masjid Jamiul Badawi itu ada wakafkan tanah di tempat lain (sebagai kawasan tanah perkuburan). Tapi, anak-anak kariah di situ tak mahu kebumikan ahli keluarga mereka di tempat yang lain (kerana jauh).

“Jadi, satu kertas cadangan telah dibawa ke Jawatankuasa Fatwa bagi membolehkan pembinaan kubur bertingkat di Masjid Jamiul Badawi dibuat mengikut kaedah dan garis panduan yang ditetapkan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya