Tiada gas berbahaya, unsur jenayah kes tiga mati di lubang pembetung - Utusan Malaysia

Tiada gas berbahaya, unsur jenayah kes tiga mati di lubang pembetung

NOOR HISAM NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Tiada unsur gas berbahaya dikesan dalam kejadian tiga lelaki maut dalam lubang pembetung di tapak pembinaan sebuah resort di Kampung Ibol dekat Sumpitan, Lenggong Ahad lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pemeriksaan oleh Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak menemukan sebarang gas berbahaya yang menjadi punca kematian mangsa.

Malah katanya, laporan hasil bedah siasat ketiga-tiga mangsa juga mendapati punca kematian mereka akibat sesak nafas ekoran terperangkap dalam salur pembetungan.

“Gas-gas toksik dan beracun tiada cuma mereka lemas kerana tiada pengudaraan. Siasatan dari pelbagai sudut sedang dijalankan sekiranya ada unsur jenayah, namun setakat ini tiada.

“Buat masa ini, kita belum panggil mana-mana pihak lagi untuk dirakam keterangan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika ditemui pada Program Rintis Komuniti Rakyat Madani: Majlis Aidilfitri Perpaduan di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3, Bidor di sini hari ini.

Media pada Ahad lalu melaporkan, dua lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia maut selepas terperangkap dalam lubang pembetung di tapak pembinaan resort di Kampung Ibol, Sumpitan.

Dalam kejadian sekitar pukul 9.30 pagi itu, seorang pekerja lelaki warga Indonesia dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di Hospital Taiping.

Empat lagi lelaki masing-masing dua warga tempatan dan dua Indonesia yang turut sesak nafas ketika membantu mengeluarkan mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan.

Sementara itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak dalam kenyataannya berkata, tiada sistem pengudaraan di lubang pembetung dipercayai menjadi punca kematian tiga mangsa tersebut.

Menurut JKKP, pemeriksaan di lokasi berkenaan juga mendapati tapak pembinaan tersebut tidak mempunyai rekod bagi prosedur kerja selamat di ruang terkurung sebagaimana peruntukan Tataamalan Industri Bekerja di Ruang Terkurung 2010. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya