Tiada campur tangan pendakwaan kes 1MDB

Tiada campur tangan pendakwaan kes 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan tiada mana-mana pemimpin kerajaan terdahulu yang campur tangan dalam pendakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Selain itu, Mohamad Fuzi menyatakan, bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas telah memutuskan untuk tidak menuduh beberapa individu yang terlibat dalam pengurusan 1MDB kerana mereka akan dijadikan saksi dalam perbicaraan kelak.

 

Pada prosiding sebelum ini, Najib mendakwa terdapat campur tangan oleh kerajaan dalam menuduhnya di mahkamah dan bukannya beberapa pengurusan tertinggi 1MDB yang dikatakan telah melakukan penyelewengan tersebut.

 

Najib yang juga bekas Lembaga Penasihat 1MDB dan Menteri Kewangan ketika itu turut menyatakan bahawa beberapa individu yang sebelum ini berada dalam pengurusan tertinggi syarikat itu seperti bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi sepatutnya didakwa kerana melanggar tanggung jawab fidusiari.

 

Terdahulu ketika membaca penyataan saksinya, Mohamad Fuzi yang juga saksi pendakwaan ke-19 menyatakan, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah diminta untuk memberi taklimat kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, lima hari selepas beliau mengangkat sumpat sebagai Perdana Menteri buat kali Kedua.

 

Turut hadir pada sesi taklimat tersebut ialah Bekas Ketua Unit Siasatan Jenayah Korporat (CCID), Senior Asisten Komisioner (SAC) R. Rajagopal yang juga saksi pendakwaan ke-11.

 

“Selain daripada itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Menteri Dalam Negeri juga telah ditaklimatkan berkenaan dengan status siasatan pihak PDRM. Tan Sri Muhyiddin Yassin telah ditaklimatkan oleh ACP Rajagopal pada 23 Julai 2018.

 

“Pada 9 Ogos 2018, saya telah bersama-sama SAC Dato’ Khalil Azlan, SAC Rusdi (CCID Kuala Lumpur) dan SAC Mazli (Sekretariat IGP) dan ACP Rajagopal telah memberi taklimat (kepada)  Tun Daim Zainuddin berkenaan dengan siasatan ke atas 1MDB di Menara Ilham, Kuala Lumpur,” katanya.

 

Pada ketika itu, Daim merupakan Ketua Majlis Penasihat Kerajaan atau Council of Eminent Persons yang ditubuhkan untuk menjadi penasihat ekonomi, kewangan dan hal-hal lain yang berkaitan dengan negara termasuk skandal penyelewengan dana 1MDB.

 

Tambah Mohamad Fuzi, pada setiap sesi taklimat, Dr. Mahathir, Muhyiddin dan Daim bertanya mengenai status pendakwaan terhadap suspek-suspek kes berkenaan termasuk Najib.

 

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa kerta-kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dan keputusan untuk membuat pertuduhan adalah tertakluk kepada jabatan terbabit yang pada ketika itu diterajui oleh Tommy.

 

“Saya juga telah dimaklumkan oleh ACP Rajagopal bahawa Tan Sri Tommy Thomas telah beberapa kali ditaklimatkan tentang cadangan pertuduhan sejak bulan Julai 2018 dan Tan Sri Tommy Thomas telah mengarahkan pihak polis untuk memfailkan pertuduhan-pertuduhan terhadap beberapa individu yang telah melarikan diri dari Malaysia dan untuk mendapatkan waran-waran tangkap ke atas mereka. 

 

“Pegawai Penyiasat ACP Rajagopal turut memaklumkan kepada saya bahawa tiada pertuduhan telah diarahkan bagi individu-individu lain di dalam pengurusan 1MDB yang masih berada di Malaysia memandangkan mereka akan dijadikan saksi di dalam pertuduhan-pertuduhan ke atas Datuk Seri Najib,”katanya.

 

Sementara itu ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, bekas Ketua Polis itu bersetuju bahawa Dr. Mahathir, Muhyiddin dan Daim tidak pernah membuat sebarang keputusan berhubung siasatan atau menentukan siapa yang akan didakwa di mahkamah.

 

Ahmad Akram: Ketiga-tiga individu ini tidak boleh membuat sebarang keputusan, sama ada terdapat bukti kukuh untuk mendakwa terletak kepada Peguam Negara.

Mohamad Fuzi: Setuju.

 

Ahmad Akram: Disebabkan tiada sebarang keputusan (oleh ketiga-tiga individu berhubung siasatan 1MDB), oleh itu tidak boleh dikatakan bahawa terdapat campur tangan dalam siasatan.

Mohamad Fuzi: Setuju.

 

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya