PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Dzukefly Ahmad menjelaskan tiada bayaran dikeluarkan kepada artis dan selebriti yang hadir membuat persembahan pada sambutan Aidilfitri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Selasa lalu.
Menurutnya, artis yang hadir seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Mila AF dan Datuk Jamal Abdillah membuat persembahan secara sukarela bagi meraikan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan warga KKM.
“Bagi Jamal pula, hanya saguhati diberikan kepada penyanyi tersebut manakala, Tok Ti (Siti Nurhaliza) pula hadir sebagai rakan tetamu Yayasan Nurjiwa dan Mila AF juga tidak mengenakan caj,” katanya. ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024 di sini, hari ini.
Sebelum ini, Pemuda Pas Terengganu meluahkan rasa kecewa dan simpati terhadap ribuan warga kerja KKM yang saban hari bergelut dengan tekanan kerja, fasiliti yang serba kekurangan dan ketidakpastian masa depan.
Namun, dalam masa sama, Ketua Lajnah Kesihatannya, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, warga kerja KKM itu terpaksa menyaksikan kementerian sendiri menganjurkan majlis sambutan Aidilfitri yang mewah bersama artis dan selebriti.
Sedangkan, realitinya, kata beliau, lebih 3,000 doktor kontrak meletak jawatan sejak 2021, kebanyakannya kerana tekanan kerja melampau, sistem penempatan yang lemah dan ganjaran yang tidak setimpal
Selain itu, ruangan komen Facebook Dr Dzulkefly turut ‘diserang’ oleh warganet kerana tidak senang dengan tindakan KKM bermewah-mewahan dalam menganjurkan majlis Aidilfitri dengan melibatkan selebriti terkenal.
Mereka antara lain mempersoalkan perbelanjaan yang dikeluarkan bagi membayar artis terbabit.
Media sebelum ini melaporkan, Jamal bersetuju menyanyi pada majlis tersebut selepas menerima jemputan daripada Ketua Setiausaha KKM yang memang kenalannya.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly menjelaskan majlis sambutan hari raya KKM tahun ini diadakan di kompleks mereka sendiri dan dihadiri ramai petugas kesihatan dari jauh dan dekat. – UTUSAN