TAPAH: Isu calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang didakwa menipu untuk mendapatkan tauliah mengajar agama merupakan naratif yang tidak berasas sama.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, calon PN dalam PRK itu, Abd. Muhaimin Malek telah memperoleh tauliah yang sah sejak 2014 lagi.
“Ustaz Muhaimin memperoleh tauliah sejak tahun 2014. Bukan senang nak dapat tauliah, saya sendiri pun ada tauliah dan pernah lalui proses itu yang mana kita berhadapan dengan panel-panel termasuk mufti dan timbalan mufti yang bertanyakan pelbagai soalan daripada pelbagai sudut.
“Jadi, nak tuduh orang tipu tauliah, kena faham maksudnya dulu. Tipu tauliah ni maksudnya tak ada tauliah langsung,” katanya kepada pemberita pada Sidang Media Harian PN sempena PRK DUN Ayer Kuning di sini hari ini.
Beliau berkata sedemikian di Pusat Media Perikatan Nasional N48 di Bidor.
Idris yang juga Pengarah Jawatankuasa Induk PRK DUN Ayer Kuning berkata, setakat ini tiada keperluan di bawah Akta Pilihan Raya yang menghalang pemegang tauliah daripada menjadi calon pilihan raya.
“Tiada syarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu lepas tauliah jika nak bertanding pilihan Raya.
“Yang buat laporan (polis) terhadap Ustaz Muhaimin, belum tentu sendiri ada tauliah dan nak dapat borang (permohonan tauliah) sekalipun belum tentu dapat, ” katanya.
Media melaporkan semalam, Pemuda Amanah Perak membuat laporan polis berhubung dakwaan penipuan dalam permohonan tauliah mengajar agama oleh calon PN pada PRK DUN Ayer Kuning.
Mereka mendakwa Abd. Muhaimin yang juga pengetua maahad tahfiz swasta memperoleh tauliah mengajar agama daripada Jabatan Mufti Negeri Perak meskipun memegang jawatan politik.
Berhubung dakwaan PN menggunakan gambar seorang ahli Barisan Nasional (BN) tanpa kebenaran sebagai bahan kempen, Idris berkata, ia tidak disengajakan dan tidak perlu disensasikan.
“Kita ambil gambar kemesraan, kita bercakap dan bersembang tanpa kita tahu pun individu itu menyokong parti mana. Nampak menarik kita letakkan sebagai calon yang mesra. Bukannya kita fitnah dengan masukkan baju Pas atau baju PN.
“Apa pun dalam hal ini jika individu tersebut tidak bersetuju, kita boleh turunkan dan minta maaf. Tiada masalah,” katanya. – UTUSAN