Thailand dijemput sertai Forum Perhutanan, Pertanian, Komoditi dan Perdagangan

Thailand dijemput sertai Forum Perhutanan, Pertanian, Komoditi dan Perdagangan

JOHARI Abdul Ghani bergambar bersama Menteri Iklim United Kingdom, Kerry McCarthy (kanan) dan wakil Menteri Indonesia Dida Gardera (kiri) selepas Majlis Pembukaan Rasmi Fact Forum 2025 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia akan menjemput Thailand, iaitu pengeluar kelapa sawit ketiga terbesar dunia bagi menyertai Forum Perhutanan, Pertanian, Komoditi dan Perdagangan (FACT) 2025.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia penting bagi memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara pengeluar pada masa hadapan.

Beliau berkata, penyertaan Thailand penting memandangkan negara itu juga merupakan antara pengeluar utama komoditi seperti minyak sawit dan getah, namun tidak tersenarai dalam kalangan negara peserta FACT.

“Thailand memang belum lagi (dalam senarai) tetapi kita akan jemput mereka. Dahulu pun mereka pernah dijemput tetapi tidak dapat hadir.

“Tetapi sekarang, apabila semua negara pengeluar bersama-sama, ia boleh menjadi satu platform yang sangat penting,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan Rasmi Forum Perhutanan, Pertanian, Komoditi dan Perdagangan (FACT) 2025, di sini.

Ketika ini, Thailand adalah pengeluar minyak sawit ketiga terbesar di dunia dengan menghasilkan kira-kira 3.7 juta tan metrik minyak sawit pada tahun 2024/2025 sekali gus menyumbang sekitar empat peratus daripada pengeluaran global.

Kedudukan itu meletakkan Thailand selepas Indonesia dan Malaysia, yang masing-masing menyumbang 59 peratus dan 24 peratus daripada pengeluaran dunia.

Dalam pada itu, Johari berkata, FACT memberi ruang kepada negara-negara pengeluar seperti Malaysia dan Indonesia untuk berkongsi pengalaman masing-masing dalam menguruskan industri komoditi secara mampan, selain mendengar pandangan daripada negara pembeli.

“Kali ini (FACT Forum 2025), Indonesia berkongsi pengalaman mereka, Malaysia juga, dan begitu juga negara pengeluar lain. Negara pembeli pula akan menyumbang dari segi keperluan dan jangkaan mereka.

“Dari situ kita boleh buat perbandingan dan susun strategi bersama. Saya percaya, dalam sedikit masa lagi, semua pihak akan menerima dan mengamalkan prinsip kelestarian ini,” katanya.

Forum FACT 2025 yang berlangsung buat kali pertama di Malaysia menghimpunkan pelbagai negara pengeluar dan pembeli utama dunia untuk membincangkan isu berkaitan komoditi, kelestarian dan perdagangan global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya