MULA mencipta nama pada tahun 2006, penyanyi, Sheila Abdull mengakui era itu merupakan titik terendah dalam kerjayanya sebagai seorang anak seni. Terkenal menerusi lagu Mungkinkah, penyanyi yang berusia 37 tahun itu sendiri tidak menjangka single tersebut menjadi one-hit-wonder yang hanya sekadar pengenalan sementara buat dirinya dalam industri seni.
Menurut Sheila, kehidupannya pada ketika itu seolah terumbang-ambing barat kapal di lautan mencari panduan dan hala tuju yang jelas untuk meningkatkan populariti sendiri.
“Sewaktu awal penglibatan saya dalam industri dulu saya agak terkapai-kapai. Saya perlu berusaha keras untuk mendapat tempat dalam industri sehinggalah muncul lagu. Mungkinkah.
“Mungkinkah memang membuatkan nama saya terkenal. Namun, populariti itu tidak kekal lama apabila syarikat rakaman yang saya bernaung dulu iaitu EMI ditutup,”katanya.
Meskipun bakat nyanyiannya mula digilap oleh seorang komposer terkenal iaitu Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan, namun kerjaya itu tidak bertahan lama dan mula karam pada
tahun 2013. Kata Sheila, sepanjang tujuh tahun berhempas pulas mencipta nama, dia juga berjaya menghasilkan beberapa buah lagu ciptaan komposer-komposer ternama, namun sambutannya tidak memberangsangkan.
“Mungkinkah, saya juga ada beberapa lagu lain hasil ciptaan komposer terkenal seperti Datuk Adnan Abu Hassan, Datuk M. Nasir, Tam Spider dan suami saya, Ammar Habir. Saya juga ada sebuah album yang memuatkan lapan lagu.
“Ketika itu saya tidak tahu apa yang market mahukan dan saya rasa susah untuk berikan suntikan kepada lagu-lagu itu. Itu yang buatkan saya rasa putus asa dan tidak mahu keluarkan lagu lagi.
“Kalau ikutkan perjalanan saya ketika itu mudah kerana tapaknya sudah ada lebih-lebih lagi saya banyak dibimbing oleh Adnan Abu Hassan. Tapi saya tetap terkapai-kapai. Selepas EMI, saya beralih ke syarikat rakaman lain tetapi nasib saya di situ tidak lama,” jelasnya.
GV BERI IDENTITI BARU
Syukur diberi peluang kedua untuk meneruskan impiannya sebagai penyanyi, Sheila mengakui penglibatannya dalam program realiti Gegar Vaganza (GV) musim ke-11 memberikan impak yang besar dalam hidupnya.=
Siapa sangka, Sheila yang dulu pernah terumbang-ambing mencipta populariti kini sudah mempunyai landasan untuk Sheila memperkenalkan identiti dan bakatnya kepada umum.
“GV itu memberi impak terhadap karier saya. Program itu memang memenuhi hasrat saya yang mahu masuk kembali dalam industri. Program itu platform yang bagus kerana buka ruang untuk orang lebih mengenali saya.
“Sebelum ini, orang hanya tahu lagu saya tetapi tidak tahu personaliti saya bagaimana. Jadi impaknya sangat besar bagi saya,” kongsinya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Mungkinkah itu juga meluahkan rasa bersyukur kerana diberi peluang semula untuk menimba ilmu nyanyian dengan baik dari juri profesional seperti Datul Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang.
Katanya, peluang itu benar-benar membuatkan dirinya nekad untuk tidak sia-siakan bakatnya yang pernah dicungkil oleh Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan.
“Pada awal saya menerima tawaran untuk sertai pertandingan itu, saya rasa takut dan tidak yakin untuk melakukannya.
“Dalam masa sama, saya perlu masuk dan buat betul-betul untuk kembalikan semula identiti saya yang pernah terkubur sebelum itu.
“Siapa sangka, saya mampu lakukannya sampai ke pentas akhir. Memang peluang itu saya gunakan sehabis baik untuk orang sedar bakat saya.
“Kalau tidak, sia-sialah usaha arwah Adnan Abu Hassan cungkil bakat saya pada dua tahun pertama dalam industri,” jelasnya.
PENGORBANAN YANG BERBALOI
SELAMA 11 tahun menyepi dari industri, ternyata penyanyi itu bukanlah membawa diri kerana tidak diterima dalam industri, sebaliknya sibuk dengan kehidupan berkeluarga dan cuba menceburi kerjaya baharu di awan biru untuk beberapa tahun.
Namun, berjauhan dengan keluarga bukanlah sesuatu perkara yang mudah lebih-lebih lagi jika seseorang itu sudah bergelar isteri dan mempunyai anak-anak yang masih kecil.
Meskipun berat hati untuk berjauhan dengan keluarganya di Johor Bahru, Sheila tetap bersyukur kerana mempunyai tulang belakang yang memahami dan sentiasa menyokong impiannya.
“Sewaktu ditawarkan untuk menyertai GV, saya baru sahaja lepas bersalin anak bongsu. Ketika itu saya tidak berfikir panjang dan terima sahaja kerana sudah beberapa kali tolak.
“Saya tidak pernah terfikir yang saya mampu lakukannya di saat saya masih perlu menyusu badan anak saya yang ketiga itu. Demi impian, saya perlu berkorban dengan berjauhan dari keluarga.
“Pengorbanan ini bukan pengorbanan saya
seorang. Dia jadi besar sebab pengorbanan ini juga melibatkan orang di sekeliling saya untuk sesuaikan diri dengan keadaan itu,” kongsinya.
Tambahnya lagi, dia juga tidak mahu melepaskan peluang kedua untuk mengasah bakatnya sehingga dikenali ramai selepas 11 tahun mendiamkan diri dalam industri.
“Ini bukan masa untuk mencuba-cuba lagi. Saya kena pastikan usaha ini menjadi. Saya tidak mahu buat separuh jalan atau main-main.
“Saya rasa beruntung dapat masuk program seperti GV. Orang mula nampak bakat saya dan orang lebih menghargai kehadiran saya.
“Sejujurnya, saya sendiri tidak percaya saya merupakan peserta ‘underdog’ yang berjaya melepaskan diri sehingga final. Sekurang-kurangnya pengorbanan saya berjauhan dengan keluarga itu membuahkan hasil,” ujarnya.