KUALA LUMPUR: Primadona filem Melayu, Erra Fazira, menyangkal dakwaan kononnya dialah pelakon popular yang baru-baru ini mendirikan rumah tangga.
Bahkan kata Erra, sehingga kini, belum ada lagi sebarang perancangan ke arah menamatkan zaman ibu tunggalnya.
”Ternyatalah bukan saya yang diperkatakan itu. Saya selalu jadi mangsa keadaan.
“Saya dah selalu hadap perkara macam ini. Jadi tak adalah saya terkejut apabila nama dipetik.
“Tentunya sekarang saya masih bergelar single mother. Apa pun, doakan. Cepat atau lambat, doakan,” katanya yang ditemui pada majlis rumah terbuka Rizman Ruzaini semalam.
Ahli perniagaan, Ezwan Zain atau popular sebagai Mr E, mengesahkan hubungannya dengan aktres jelita itu melangkah ke fasa serius.
Namun kata Erra, dia berserah kepada Tuhan, justeru tidak tergesa-gesa untuk sekali lagi mendirikan rumah tangga.
”Bersedia atau tidak, saya ikut sahaja jalan yang ditentukan. Saya mungkin mampu merancang, tapi bukan yang menentukan,” jelasnya. – UTUSAN