Terus-terang, amat sukar untuk saya menahan perasaan untuk tidak bertanyakan satu hal yang boleh dikira cukup peribadi dan sensitif buat pelakon yang memegang peranan utama dalam filem Babah yang sebelum ini mendapat sambutan hangat daripada peminat filem tempatan.
Ia adalah tentang emosi Sweet Qismina yang perlu memainkan watak Maya dalam penceritaan yang menekankan mengenai hubungan anak perempuan dengan seorang ayah yang dipanggil Babah dalam filem terbitan Nads Media Entertainment itu.
Barangkali dapat ditebak, sungguh tidak mudah untuk pelakon ini membawakan watak itu kerana satu hakikat yang disimpan kemas, figura seorang ayah dalam hidupnya hanya terwujud sebagai satu memori lewat 17 tahun ini.
Justeru, mustahil sekali hati kecilnya tidak tersentuh apabila perlu ‘berpura’ menjadi Maya di layar skrin yang membangkitkan segala memori tentang arwah ayahnya.
Tunduk mengangguk, kata Sweet, meskipun hatinya terusik, entah mengapa dari satu sisi, dia juga berterima kasih kepada ‘Maya’ kerana datang dalam hidupnya di usia ini dengan meminjamkan kisah suka dan dukanya bersama Babah yang dimainkan oleh aktor, Qi Razali.
“Saya harus berterima kasih kepada Maya. Kerana dia, saya kembali dapat merasai kasih sayang seorang ayah, momen-momen bahagia dengan Babah, yang turut memberikan saya peluang untuk menjadi seorang princess di hati seorang ayah.
“Boleh dikatakan, apa yang orang nampak dalam filem itu, itulah saya sepanjang 11 tahun Allah pinjamkan arwah ayah kepada saya dan keluarga. Karakter Babah itu, boleh dikatakan agak sama dengan karakter arwah ayah saya semasa hayatnya.
“Sebab itu juga saya sangat menikmati setiap momen sebagai Maya dalam filem itu kerana secara tidak langsung ia membawa saya kembali kepada momen saya bersama arwah ayah seperti dahulu,”katanya.
Pun begitu, kata pelakon berusia 28 tahun ini, mustahil tidak terbit sekelumit perasaan rindu terhadap arwah yang kemudiannya membawa kepada rasa kasih sayangnya kepada ibu yang terpaksa memikul tanggungjawab sebagai emak dan ayah pada masa yang sama sejak pemergian suami tercinta.
“Sejak pemergian ayah, saya tidak kata hidup ini kosong meskipun kehangatan sosok seorang ayah itu kini sudah tiada dalam hidup kami sekeluarga. Lalu saya melihat betapa kuatnya mama kerana dia cuba pikul tanggungjawab sebagai ibu dan ayah sekali gus walaupun tidak mudah.
“Betul kata orang, kalau ada ayah ibu, kita boleh tengok peranan masing-masing berbeza. Apabila yang seorang tegas, seorang lagi akan berlembut. Saya tidak dapat benda itu dan cuma dipinjamkan keadaan itu sampai usia 11 tahun sahaja.
“Apabila mama kena pikul dua tugas dalam masa sama, kadangkala kita tengok dia pun keliru jika tidak memahami dia. Sekejap dia sayang, sekejap dia menangis, sekejap dia tegas, emosi yang pelbagai dari seorang ibu yang sudah tentu, dia juga sedang menanggung perasaan yang tidak terungkapkan,” ujarnya.
Luah Sweet, sejak ayahnya meninggal dunia, dia dan adik-beradik lain belajar untuk hidup dengan mengumpul kekuatan sendiri sambil menghargai keberadaan ibu di sisi.
Bagi Sweet, itu sudah mencukupi.
“Mungkin sebab apa yang mama bagi itu sudah membuatkan kami adik-beradik berasa cukup.
“Keluarga saya bukanlah cuma ada mama sahaja. Saya ada adik-beradik, keluarga sebelah ayah dan ibu, mereka sentiasa ada dan memberikan semangat untuk kami teruskan hidup,”katanya.
ANDAI MASA DAPAT DIPUTAR?
Sengaja mengusik Sweet dengan pertanyaan andai sahaja masa dapat diputar, agaknya apa yang ingin diubah atau diperbaiki dalam hidupnya.
Cuba berterus-terang, kata Sweet, tiada apa yang ingin diubah sekalipun mungkin dia berpeluang untuk melakukan hal itu.
Ini kerana, kata pelakon ini, sebagai hamba-Nya yang kerdil, dia belajar untuk mensyukuri setiap apa yang telah ditakdirkan kepada dirinya meskipun ia dalam bentuk kurniaan mahupun ujian.
“Tiada apa yang saya hendak ubah sebab saya suka dengan perjalanan hidup yang telah ditakdirkan untuk saya ini. Saya rasa perjalanan hidup saya ini sudah menarik. Satu pencapaian untuk dapat diri saya yang sekarang ini.
“Kalau benda yang saya rindukan itu mungkin dari segi mahu luangkan lebih masa dan meneroka apa yang belum saya lakukan. Sebenarnya, saya sudah banyak juga dapat peluang itu semasa bekerja dari kecil contohnya dapat mengacara dan berjalan melihat tempat orang.
“Bagaimanapun, saya tidak tolak, rindu untuk dapat luangkan masa dengan ayah dan kakak yang telah tiada. Rindu itu sentiasa ada, tetapi ia bukan satu kerinduan yang terbungkam dalam penyesalan.
“Ia lebih kepada rindu yang penuh dengan kasih sayang, yang membangkitkan semangat yang positif dalam diri saya untuk teruskan hidup ini,”katanya.
MENYESAL?
Ketiadaan ayah juga membuatkan Sweet seakan sudah terbiasa bekerja sejak kecil. Mungkin ada yang beranggapan keadaan itu bebanan buat dirinya, semasa kecil sudah sibuk mengisi masa dengan pekerjaan sedangkan seharusnya dia menikmati zaman kanak-kanaknya seperti rakan lain.
Jika ada tanggapan sebegitu anda silap. Bagi Sweet, penat lelah yang diusahakan sejak kecil bukanlah dilakukan kerana terpaksa. Sebaliknya, atas dasar minat mendalam dalam bidang seni.
“Betul, memang saya bekerja dari kecil. Saya tak pernah menyesal apabila saya kerja sebab masa kecil, saya tak pernah fikir untuk berada dalam industri seni ini dan anggap ia satu pekerjaan.
“Saya buat sebab minat. Memang minat sangat berlakon jadi saya tak pernah terfikir ia satu beban. Kalau saya fikir, ia beban, tentulah saya akan rasa menyesal dengan apa yang saya buat. Sebaliknya, saya rasa bangga dan gembira kerana dapat buat apa yang saya minati,”katanya.
Tambah Sweet, selama bekerja dari kecil,dia tidak benar-benar memahami apa maksud kuat kerana hanya menjalani kehidupannya seadanya.
Pun begitu, melewati usia dari tangga ke tangga, sudah tentu, tumbuh dewasa itu baginya memerlulan kekuatan dari segi mental dan fizikal. Bahkan, dia juga ada waktunya berasa lelah jua.
“Sebagai manusia biasa, ada masa pasti akan rasa down. Rasa macam tak mampu, rasa tak nak buat sesuatu perkara, rasa ‘sakit’. Tetapi apabila difikirkan semula, mungkin rasa begitu kerana penat.
“Terlalu penat juga memungkinkan kita untuk rasa begitu. Untuk saya, kalau orang melihat saya ini jadi tulang belakang keluarga, itu pun tak wajar untuk dipersoalkan. Ini kerana saya percaya, itu semua aturan Allah.
“Saya tidak kata diri saya ini kuat. Tetapi mungkin juga kerana saya sudah letakkan dalam minda kalau penat atau tidak kuat sekali pun, bukannya kita berhenti terus. Kalau penat, rasa sakit, kita berhak rehat sekejap, dapatkan semula momentum dan sambung apa yang kita sudah lakukan.
“Apa yang penting, hati itu yang kena ikhlas,”katanya.