PETALING JAYA: Selamat menunaikan ibadah umrah, pelakon, Nur Risteena Munim berkongsi momen manis ketika menerima jambakan bunga dari suaminya, Isa Khan usai tiba di tanah air.
Perkongsian tersebut sekali gus meleraikan spekulasi bahawa rumah tangga mereka sedang retak menanti belah.
Menurut Risteena, saat berjauhan dengan suaminya itulah membuatkan mereka saling memerlukan antara satu sama lain selain perlu menanggung rasa rindu.
“Bila terpaksa berjauhan kejap sewaktu saya pergi menunaikan umrah, kesihatan pula kurang baik, itulah saat kami amat memerlukan satu sama lain.
“Baru berapa hari sudah banyak nak sembang, banyak nak borak,” katanya dalam sebuah hantaran di Instsgram.
Menerusi perkongsian tersebut, Risteena turut berkongsi foto tangkap layar pesanan suaminya itu melalui aplikasi Whatsapp yang tidak henti-henti meluahkan rasa rindu sepanjang pelakon itu berada di Kota Suci Makkah.
“Tolong cepat balik. Saya perlukan awak. Terlalu banyak benda saya nak cakap dengan awak. Allah tahu saya tunggu awak. Tengok kalendar, sehari macam setahun,” luah Isa.
Malah, Isa juga sempat menzahirkan rasa syukur dikurniakan wanita istimewa seperti Risteena sebagai isterinya.
“Terima kasih Allah temukan saya dengan wanita istimewa ini,” katanya.
Sebelum ini, status perkahwinan pasangan itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan warganet selepas sudah jarang dilihat bersama di acara hiburan atau di mana sahaja apatah lagi di media sosial.
Malah, Risteena dan Isa juga sudah lama tidak memuat naik gambar bersama di media sosial masing-masing meskipun tiada pengumuman mengenai perceraian dibuat mereka.
Risteena dan Isa telah mendirikan rumah tangga pada 12 Mac 2021.-UTUSAN