Terengganu perkukuh hubungan, kerjasama dengan Persekutuan

Sultan Mizan mahu Terengganu perkukuh hubungan, kerjasama dengan Persekutuan

SULTAN Mizan Zainal Abidin (kanan) berkenan bertitah pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan kerajaan negeri memperkukuh hubungan dan mengeratkan lagi jalinan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar serta inisiatif pembangunan.

Sultan Mizan bertitah, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) menghampiri penghujungnya dan pada 2026, Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) pula bakal membuka tirainya.

“Beta menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan bagi kelulusan sebanyak 408 projek pembangunan dengan peruntukan sebanyak RM13.56 bilion sepanjang pelaksanaan RMK-12.

“Pelaksanaan projek ini memberi pelbagai manfaat kepada rakyat beta termasuk mempertingkat kemudahan infrastruktur serta memperkukuh daya saing komuniti secara menyeluruh.

“Oleh itu, kerajaan negeri perlu memperhebat usaha dan membuat perancangan yang lebih strategik bagi memastikan setiap projek di bawah RMK-13 dapat dilaksanakan dengan jayanya,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Sultan Mizan turut menitahkan kerajaan negeri supaya terus menggandakan usaha menarik lebih ramai pelabur bagi meneroka potensi besar yang terdapat di Terengganu demi manfaat rakyat dan negeri. 

Titah baginda, jentera pentadbiran negeri mesti bertindak dengan lebih cekap, responsif dan proaktif dalam memenuhi keperluan pelabur, sekali gus mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi serta pelaburan berkualiti. 

“Dengan komitmen dan kerjasama semua pihak, beta yakin Terengganu terus maju sebagai negeri yang makmur dan berdaya saing dengan sumber pendapatan yang pelbagai dan lestari,” titah baginda.

Selain itu, baginda mahu kerajaan negeri mengambil peluang mempromosikan keindahan serta keunikan sektor pelancongan Terengganu kepada delegasi antarabangsa sempena pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

“Beta berharap kerajaan negeri dapat meneroka serta memperkaya lagi produk pelancongan baharu yang berdaya saing dan berpotensi menarik perhatian pelancong seluruh dunia,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya