Terdapat lebih 2,000 anjing liar di Langkawi

Terdapat lebih 2,000 anjing liar di Langkawi

MANSOR ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) diarah mengambil tindakan pencegahan ke atas kira-kira 2,900 anjing liar yang berkeliaran di pulau peranginan itu, menjelang Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA 2025).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, langkah itu bagi memastikan tiada perkara buruk terjadi kepada pengunjung dan pelancong susulan ancaman haiwan berkenaan.

“Ia melibatkan orang ramai, tambahan pula Pulau Langkawi akan menerima kira-kira 400,000 pengunjung sepanjang LIMA 2025.

“Sudah tentu perkara yang tidak baik kalau pelancong berjoging dan berjalan dikejar anjing liar,” katanya ketika menjawab soalan Amar Pared Mahamud (PN-Kuah) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Katanya, tindakan perlu diambil mengikut kaedah di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Anjing (Majlis Daerah Langkawi) 1995 berikutan populasi anjing yang banyak dan dibimbangi terus bertambah.

“Cuma kaedah penangkapan anjing perlu mengikut garis panduan iaitu sama ada jerut, jala atau menggunakan penyauk. Anjing liar ini bukan statik, bukan dalam keadaan senyap, jadi bila letak tali dan ada penarikan dengan anjing akan berlaku sedikit pergelutan.

“Masa ini lah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sangat simpati pada binatang ini akan ambil gambar dan dakwa berlaku penyeksaan. Itu bukan anjing ‘gebu’ tapi anjing liar, ada risiko,” ujarnya.

Mansor memaklumkan, jumlah tangkapan anjing di Pulau Langkawi pada 2022 adalah sebanyak 455 ekor, diikuti 2023 (415 ekor), 2024 (369 ekor) dan pada tahun ini sehingga 3 Mac adalah 106 ekor.

“Selain itu, MPLBP juga bekerjasama dengan NGO EcoMy bagi mengendalikan anjing-anjing liar yang telah ditangkap. Proses pemandulan dijalankan EcoMy dengan kerjasama klinik veterinar swasta di sekitar Langkawi,” katanya.

Beliau turut berkongsi kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang cedera parah akibat diserang lima ekor anjing liar di Kampung Dede, Sungai Menghulu di Kuah pada 1 Mac lalu.

“Pihak MPLBP kemudian membuat tangkapan tujuh ekor anjing liar di kawasan tersebut dan diserahkan kepada Jabatan Veterinar Daerah Langkawi untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Mansor turut meluahkan kekesalan terhadap insiden di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, Baling baru-baru ini, yang mana dua ekor anjing jenis Rottweiler menyerang dan mencederakan lima individu.

Beliau berkata, statistik di Kedah menunjukkan sebanyak 2,395 aduan berkaitan anjing direkodkan tahun lalu termasuk 56 kes serangan dan 24 kes gigitan, manakala 550 aduan diterima dengan sembilan kes serangan dan empat kes gigitan dilaporkan sehingga Mac 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya