PASIR PUTEH: Tengkorak dan serpihan tulang milik manusia telah ditemukan di kawasan sawah dekat Kampung Bukit Abal, Selising di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, sejurus menerima maklumat pada pukul 3 petang sepasukan anggota telah ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.
“Pemeriksaan dilokasi telah menjumpai tengkorak dan beberapa bahagian tulang lama yang belum pasti usianya.
“Pemeriksaan di kawasan sekitar lokasi itu tidak menemui sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Zaizul Rizal memberitahu, susulan itu
pasukan forensik telah menjalankan siasatan lanjut serta mencari saki baki tulang yang dipercayai masih ada di lokasi penemuan.
Katanya, setakat ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Polis Balai Selising, Sarjan Mejar Suhaimi Abdullah di talian 019-2424434 atau terus mengubungi Bilik Gerakan IPD Pasir Puteh di talian 09-7867222,” ujarnya.-UTUSAN