PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memastikan tindakan bagi pengosongan tanah dilakukan daripada sebarang aktiviti pencerobohan di tapak pembangunan Masjid Dengkil di Selangor dibuat dalam tempoh sebulan.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) selaras dengan titah Sultan Selangor bahawa tanah di bawah kawalan JAIS hendaklah bersih dari sebarang pencerobohan.
Katanya, JAIS akan terus memastikan bahawa tiada sebarang bentuk pencerobohan terhadap mana-mana tanah di bawah kawalannya dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya jika ianya berlaku.
“Semua tanah warta JAIS akan diperiksa semula dalam tempoh satu bulan akan datang untuk memastikan tiada sebarang pencerobohan berlaku. JAIS akan bersama-sama PDT dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam perkara ini.
“Orang awam atau pihak-pihak yang mengetahui sebarang bentuk pencerobohan terhadap tanah di bawah kawalan JAIS juga diminta terus menyalurkan maklumat kepada JAIS atau Pihak Berkuasa Negeri, Pejabat Agama Islam Daerah atau menghubungi Talian Hotline Penguatkuasa JAIS 1-800-88-2424 untuk perhatian dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, dua laporan polis dibuat Ketua Kampung Dengkil dan Pemuda UMNO Sepang berhubung isu pencerobohan tanah yang diwartakan sebagai tapak Masjid Dengkil.
Tapak masjid baharu itu diwartakan sejak 2012 dan pembinaannya dijadualkan bermula 2026 bagi menggantikan masjid lama yang berdepan isu kesesakan parkir serta kedudukan berhampiran jalan raya utama.
Berhubung isu tersebut berhubung pembinaan tempat ibadat oleh individu yang tinggal di kawasan itu, Mohd Shahzihan berkata, pihak terbabit asalnya adalah penduduk yang dipindahkan dari Ladang Galloway berikutan projek pembangunan Cyberjaya.
Katanya, mereka ditempatkan sementara di atas tanah rizab Sungai Langat dengan kelulusan Lesen Menduduki Sementara (TOL) oleh PDT Sepang.
“Pada 2007, Kerajaan Negeri arahkan tanah itu dikosongkan untuk dijadikan rizab masjid, dan pada 2011 ia diwartakan sebagai tapak pembinaan masjid seluas 10 ekar (kira-kira 4.05 hektar).
“Namun, individu terbabit masih kekal di situ hingga kini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pada 2024, JAIS mengesan wujud aktiviti dan pembinaan bangunan di tapak terbabit dan pada 10 September tahun lalu, dan surat dikeluarkan kepada PDT Sepang untuk tindakan pengosongan mengikut Kanun Tanah Negara 1965.
“Namun, kami akui tiada sebarang tindakan susulan diambil terhadap surat itu,” katanya. – UTUSAN